Monday, August 6, 2012

Chapter 48: From the Sea to the River

Chola menjunam menghambur bagai Geroda
Meragut emas, perak dan Vidhyadara Torana
Murkanya kepada Palembang yang tamak haloba
Anehnya Kedah Negara menjadi mangsa geramnya

§        §        §
Pertempuran di sungai berlangsung tepat seperti dirancang. Pihak penceroboh dari Cholamandalam mula-mula sekali dihambur di pantai berhampiran kawasan muara oleh Pasukan Laut. Beberapa gerombolan pejuang Orang Mergui datang dari pelbagai arah dengan perahu mereka yang pantas untuk membantu pejuang tempatan. Mereka yang memang tersohor hebat bertempur di laut menyumbang segala kepakaran dan kepandaian mereka dengan sepenuh semangat tanpa menunjukkan walau sedikitpun rasa bimbang atau gentar. Daripada kalangan pandai selam di antara mereka lalu menyelam dengan kapak, lembing dan tombak untuk merobek, menusuk dan meradak kapal musuh dari dalam air untuk membocorkannya.

Kapal-kapal Pasukan Laut dilengkapi dengan tombak besi yang keras di bahagian depan dan sisi. Merempuh dan memusnah segala kapal musuh yang dihampiri atau menghampiri. Pahlawan pemanah dan pelembing pula menghujani musuh dengan panah dan lembing berbisa di setiap kesempatan. Manakala pahlawan lain mengendalikan jentera pelontar untuk melontar gumpalan minyak dan debu peletup ke arah kapal musuh.

“Degum! Bedebap! Gedegang!” Puluhan Kapal Lembing daripada kalangan kapal-kapal Pasukan Laut merempuh kapal-kapal angkatan penceroboh. Menusuk, merembat, membocor, mengoyak rabak.

Debu peletup itu dirumus dengan mencampurkan debu mesiu, dipanggil orang juga debu sendawa, dengan belirang dan arang. Rumusannya pada kadar tujuh bahagian mesiu, satu setengah bahagian belirang dan satu setengah bahagian arang bagi setiap sepuluh bahagian debu peletup.

Sebelum itu sudah dilontar beratus bungkusan debu pasir halus bercampur lada kering tumbuk supaya memedihkan mata pihak musuh lalu membuat mereka haru biru kerana sakit mata dan langsung tidak dapat membuka mata untuk seketika. Panah dan lembing berapi pula menyusuli sejurus kemudian. Membakar, meletup dan memusnah setiap kapal yang telah disinggahi minyak dan bahan peletup sebelumnya.

Bagi kebanyakan penduduk kawasan pantai suasana itu seperti yang tidak pernah kelihatan oleh mereka sebelum ini. Lalu mereka beramai-ramai turun dari rumah masing-masing ke tepi pantai, baik kanak-kanak, atau wanita mahupun golongan berusia, semuanya bertempek sorak memberi perangsang kepada pejuang tempatan. Seperti menyaksikan suatu permainan pula jadinya.

Pejuang musuh semakin lama semakin ramai yang menemui ajal. Ada yang hangus terbakar seperti daging panggang disambar api bersemarak. Ada yang tertusuk panah atau lembing. Mereka terjerit terlolong dan mengerang-ngerang kesakitan sebelum melayang nyawa mereka sepenuhnya. Ada pula yang tercampak ke laut bahana ledakan bahan peletup. Mereka terkapai-kapai seketika di air dengan segala kecederaan di tubuh mereka sebelum beransur-ansur tenggelam dan mati lemas lalu terus berkubur jasad mereka di laut.

Maka enam puluh buah kapal musuh dengan segala isi dan orangnya hancur musnah di muara. Sama ada hangus terbakar dijilat api bersemarak atau remuk redam di baham kapal perempuh. Tinggal kira-kira seratus buah lagi. Pihak tempatan seterusnya meredakan serangan untuk seketika. Pasukan Laut berundur ke laut dan bersurai ke pelbagai hala. Sementara Pasukan Sungai bergegas berundur ke hulu. Mencampak umpan kepada pihak musuh supaya memburu mereka ke arah hulu. Manakala Pasukan Darat terus menanti dan membayangi pihak musuh di kedua-dua tebing sungai.

Pihak musuh kini naik darahnya meluap-luap. Rasa marah mereka membuak-buak. Semangat mereka panas membakar sebagaimana kapal-kapal mereka yang hangus terbakar di muara bergelora. Umpan yang dicampak disambar tanpa menimbang dengan akal yang segar waras. Mereka menyahut ajakan tanpa teragak-agak. Tepat seperti diharap oleh Raja Shakranta.

§
Adegan pertama rancang cara pertahanan ciptaan Raja Shakranta berjalan lancar. Kini bermula adegan kedua. Pihak musuh memburu pasukan sungai yang bertahan sambil berundur beransur-ansur ke arah hulu sungai. Air sungai masih pasang, namun dijangka akan surut dalam sehari dua.

Gerombolan pemanah pasukan darat terus menghujani pihak musuh yang berada di tengah-tengah sungai tanpa henti dengan panah mereka. Darah musuh yang tumbang membuat air sungai berwarna kemerahan kini mengalir seperti air basuhan darah ikan ke arah hilir.

Begitulah keadaannya. Pihak musuh yang masih ramai jumlahnya kelihatan semakin lama semakin maju ke hulu. Kelihatan seperti mereka beransur-ansur beroleh kemenangan sungguhpun diberi tentangan hebat.

Pasukan sungai semakin lama kelihatan beransur-ansur semakin sedikit jumlah anggotanya. Mereka rata-rata mula mendayung ke arah tebing sungai, menambat perahu mereka di tebing, meninggalkannya lalu menyelinap masuk ke rimbunan semak-semak dan pokok-pokok berhampiran seterusnya menghilangkan diri masing-masing.

§
Keesokan paginya aliran air sungai mula menyusut. Di sesetengah tempat di sepanjang sungai bayang-bayang tombak besi yang dipacak ke dasar sungai sudah mula kelihatan. Pasukan penceroboh sudah mara sampai hampir ke Pasir Mas. Tiba-tiba … gerombolan pemanah pasukan darat dengan tidak semena-mena kelihatan seperti berkembang jumlahnya dengan berlipat ganda. Pasukan pemanah pejalan kaki ditokok pula dengan pasukan pemanah berkuda.

Di antara kedua-dua pasukan itu masih mengekalkan kedudukan masing-masing di kedua-dua tebing sungai. Mereka mula memperhebat serangan mereka secara mendadak keatas musuh di tengah-tengah sungai. Serangan dibuat bertubi-tubi. Tanpa henti dan tanpa reda barang sedikitpun. Semakin ramai musuh yang tumbang dan gugur. Mayat-mayat mereka berapungan di sana sini. Pejuang-pejuang mereka kelihatan seperti beransur-ansur hilang akal. Apa yang dibuat semuanya seperti tidak menjadi. Para panglima mereka mula bertelagah di antara sesama sendiri. Masing-masing saling menyalahkan dan menuding jari.

Akhirnya mereka terpaksa sebulat suara membuat keputusan berundur semula ke hilir. Menuju ke arah kuala.

Tempik sorak pihak tempatan semakin lantang. “Hidup Shakranta!” … “Hidup Dharma Kusuma!” … “Hidup Bumi Merah!” ... “Hidup Amdan Negara!” … kedengaran teriak laung mereka yang semakin bergemuruh gemanya. Pihak musuh kini semakin kalut dan kelam kabut. Kedudukan mereka jelas terasa tiba-tiba semakin terdesak. Aliran air sungai seperti mengecut di depan mata mereka. Dewa manakah yang tiba-tiba muncul untuk melindungi orang-orang ini, fikir mereka.

Rakyat jelata di sepanjang kawasan sungai kini beramai-ramai turun menghala ke tebing sungai. Baik kanak-kanak, wanita dan anak gadis, mahupun golongan berusia, semuanya turut memberi alak kepada pejuang tempatan. Naluri mereka seperti memberitahu mereka bahawa pihak mereka berada di ambang kemenangan. Mereka mengulangi tempik sorak bala tentera tempatan membuat suasana di sepanjang sungai semakin gegak gempita. “Godam dia!” … “Ajar dia!” ... “Godam sampai lumat!” … “Godam sampai mampus!” tambah mereka lagi dengan pelat tempatan mereka yang langsung tidak difahami oleh saki baki tentera penceroboh yang masih tinggal.

Beberapa orang pemuda yang tidak bersenjata memungut batu-batu sungai sebesar yang mampu digenggam dan mula melontarnya ke arah pihak musuh. Rakan-rakan mereka tanpa disuruh mengikuti tindakan mereka. Ditiru pula oleh hampir setiap orang yang berjalan berhampiran. Di antara banyak-banyak batu yang dilontar mereka itu ada yang tepat mengenai sasarannya. Beberapa orang pejuang musuh terkena lontaran batu yang padu tepat di kepala mereka. Darah kelihatan meleleh keluar daripada kepala mereka. Mereka  kelihatan melentok dan huyung-hayang seketika sebelum tumbang ke dalam sungai. Mereka terkapai-kapai sejurus selepasnya, namun akhirnya tenggelam tidak timbul-timbul lagi.

Beberapa orang pemuda lain cuba pula menggunakan pembidas untuk membidas ketulan besi, gangsa atau timah hitam ke arah musuh-musuh itu. Hasil usaha mereka ternyata agak memberangsangkan. Ada di antara ketulan logam itu yang menembusi tengkorak musuh dan membunuhnya. Kanak-kanakpun mula ikut sama dengan menggunakan lastik mereka. Pertempuran yang bermula dua hari yang lalu kini menghampiri detik penghujungnya.

§
Saki baki angkatan musuh yang masih tinggal kini mengorak langkah seribu. Mereka mendayungi kapal-kapal mereka sekuat yang terdaya ke arah hilir sungai. Manakala pejuang-pejuang Pasukan Sungai memburu mereka dari belakang. Namun perangkap besar menanti angkatan penceroboh ... menanti di bahagian sungai yang tercetek ... nun di hilir sana ...

Air sungai yang sudah begitu susut kini menyerlahkan beribu batang tombak yang terpacak di dasar sungai. Kapal-kapal Chola Mandalam yang memecut kencang ke hilir sungai itu lalu tertusuk dan robek oleh tombak-tombak itu. Hampir kesemuanya hancur musnah dan tidak berguna lagi. Kecuali jika dibaiki. Maka itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa hari.

Lalu pejuang-pejuangnya melompat daripadanya lalu berenang atau  mengharung ke tepi sungai. Maka dinanti pula mereka di situ oleh pejuang tempatan serta penduduk kampung yang menunggu untuk menghambur dan menggodam mereka.

§
Dalam pada itu masih ada segelintir pejuang musuh yang dapat menyelinap menyelamatkan diri ke kawasan belukar yang tebal di tepi sungai. Lalu mereka bersembunyi dengan harapan tidak ditemui pihak tempatan sehingga air pasang kembali.

Dua hari selepasnya, kelihatan air sudah pasang semula. Pejuang Chola yang bersembunyi itu bergerak dari tempat persembunyian mereka di tengah-tengah belukar menuju ke tebing sungai untuk melihat kapal-kapal mereka yang tertusuk robek dek tombak besi. Manalah tahu kalau-kalau nasib baik, mungkin ada sesetengah daripadanya yang boleh dibaiki. Cuaca yang panas sehari dua ini membuat kapal-kapal itu kering kontang dek pancaran matahari. Dalam mereka meninjau-ninjau di tebing sungai ...

“Hei!” seorang daripada mereka tiba-tiba berteriak. “Lihat itu! Nun di arah hulu.”

Rakan-rakannya menoleh. Kelihatan beberapa berkas batang balak besar hanyut dari arah hulu. Di belakangnya lagi. Dan di belakang lagi.

Unggun api yang besar menyala bersemarak di atas setiap batang balak itu. Dalam beberapa ketika, dengan orang-orang Chola itu masih dalam keadaan tergamam ...

“Bummm” ... “Dush” ... Gedegaang” ... “Prrpaaaapp” ...

Tiga berkas pertama batang balak itu melanggar kapal-kapal yang terdampar di tengah sungai yang menghalang laluannya. Kapal-kapal yang sudah robek itu kini hancur berkecai dirempuh batang balak. Api yang menyala di batang-batang balak itu menyambar ke kapal. Satu demi satu kapal yang dilanggar balak mula menyala. Membakar diri sendiri ...

Akhirnya semua kapal yang merintangi laluan balak itu hangus di jalan api. Maka batang-batang balak itu tiada lagi yang menghalang pergerakannya, lalu ia terus bergerak lagi ... terus hanyut lagi ... menyambungi perjalanannya yang terhalang seketika ... perjalanan ke muara sungai ...

Selang tidak berapa lama kemudian ...

“Boom” ... “Dush” ... Gedegaang” ... “Praaaappp” ...

Kelompok berkas batang balak yang kedua pula muncul lalu melanggari penghalang yang menghalangi laluannya ... membakar dan memusnah lagi ... segala saki baki ...

§
Beberapa buah perahu panjang kelihatan mudik ke hilir dari arah hulu. Beberapa orang daripada mereka menolak-nolak seberkas besar batang balak yang tersangkut di tengah sungai dengan batang kayu panjang untuk menggerakkannya.

“Bagus!” kedengaran suara garau Shakranta memberi kata iktiraf kepada beberapa orang pejuang pasukan sungai yang mengiringinya. “Syabas! Kalian berjuang dengan begitu gagah berani. Seluruh Persekutuan Langkasuka pasti berbangga dengan kehebatan kalian.”

“Bukan kami saja yang hebat, Datuk Panglima,” jawab Awang Bongsu selaku panglima Pasukan Sungai. “Pasukan Laut yang membuat gerak tempur penuh memberangsangkan semasa permainan bermula di muara. Mereka bertempur bagaikan pahlawan yang sudah tamat berguru dengan Dewa Perang. Pasukan Darat pula menyusuli dengan begitu sempurna. Terutamanya Gerombolan Pemanah yang paling menyerlah. Serangan mereka dari tebing sungai bertubi-tubi tanpa henti. Ia begitu padu hingga pihak musuh terhalang sepenuhnya daripada membuat sebarang pendaratan yang berkesan.”

“Kami sekadar mengamalkan apa yang telah sekian lama dilatih dan ditunjuk ajar oleh Datuk Panglima kepada kami,” sambung Ombak Gulung sebagai panglima Pasukan Laut. “Sebelum ini kita semua tidak begitu pasti bahawa kaedah baru yang dirintis oleh Datuk Panglima ... seperti Kapal Lembing, dan Alat Pelontar dan Bahan Peletup ... boleh membawa kesan ketara bila bertempur dengan musuh yang handal seperti angkatan Chola Mandalam. Sungguhpun ia kelihatan cukup memberangsangkan dalam suasana perang latihan yang kita langsungkan beberapa kali sebelum ini. Namun kini, ia jelas terbukti membuahkan kejayaan yang sungguh hebat.”

"Dan jalan-jalan besar yang kita semua bina bersama ... yang bersejajar dengan kedua-dua tebing sungai ... atas arahan Tuanku Raja beberapa tahun dulu ... jelas memudahkan Pasukan Darat dalam segala pergerakan meninjau, bertahan dan menggempur," ujar Ozalan pula selaku panglima Pasukan Darat. "Terutamanya, ia membolehkan Gerombolan Pemanah bergerak begitu lancar dalam usaha mereka menghalang pendaratan musuh dan memusnahkan mereka semasa berada di air. Kita semua juga amat bertuah memiliki panglima hebat seperti Tuanku Raja sendiri ... dan yang mencipta rancang cara perang yang sungguh berhemat dan bijaksana. Dan kami juga dapat berjuang dengan sepenuh semangat setia bangsa dan setia pertiwi dengan sokongan padu yang diberikan oleh seluruh rakyat jelata kepada kami."

"Bagus, bagus," ulang Shakranta lagi. "Agar bangsat-bangsat Chola Mandalam itu berfikir dua puluh kali sebelum mereka muncul di sini lagi di lain hari."

Sumpah Merdeka
Di gunung-ganang, di bukit-bukau
Di tanah besar mahupun di pulau

Di sungai, di laut, juga di pantai
Di seluruh semenanjung nan damai

Hanya putera bumi yang akan gah
Tidak kan berjaya sebarang penjajah

Segala ancaman akan dikekang
Setiap ugutan bakal ditentang

Musuh yang gasar pasti kan tewas
Petualang busuk tentu kan tumpas

Biarlah Langkasuka terus mandiri
Teguh berdiri kekal abadi

Agar di seluruh semenanjung nan agung
Anak negeri yang terus disanjung

No comments:

Post a Comment