Monday, August 6, 2012

Chapter 46: Swoop of Garuda


"Ampun Tuanku," Panglima Agnimitra merafak sembah kepada rajanya, Sri Rajendra Chola Gankai Konda Chola, raja negeri Chola Mandalam. "Tuanku ingin bertemu hamba?"

“Ya, Agnimitra,” jawab Rajendra Chola ringkas. “Apa perkembangan terbaru tentang rencana kita?”

“Seperti yang disampaikan kepada patik oleh rangkaian perisik kita di Semenanjung Emas dan di Pulau Sumatra, jangkaan Tuanku memang tepat.”

“Maksud mu?”

“Di antara Maharaja Sang Rama Vijaya Thungga Varman, maharaja kerajaan Palembang Srivijaya, dan Raja Shakranta, raja baru Amdan Negara di pantai timur Semenanjung Emas, masih tetap berseteru ketat. Di antara keduanya, sama degil dan sama keras kepala. Tiada yang mahu beralah di antara mereka. Selain itu, Kedah Negara masih diterajui secara bergabung dengan Gangga Negara sebagai Persekutuan Kadaram oleh Raja Gangga Shah Johan, saudara sepupu dengan Sang Rama Vijaya. Baginda memerintah di sana sebagai Raja Adhipati.”

“Bagus. Bagus,” ujar Rajendra Chola. “Itulah perkhabaran hebat yang sungguh lunak  merdu bagi telinga Beta. Habis bagaimana seterusnya dengan rencana kita untuk menyerang Semenanjung Emas dan Pulau Sumatra?”

“Seluruh persediaan bala tentera kita bergerak lancar, Tuanku. Kemungkinan bala tentera Persekutuan Kadaram berpadu kekuatan dengan Angkatan Pantai Timur jika diserang kini begitu tipis. Kita hanya menunggu hari dan waktu yang baik untuk berlepas daripada pelabuhan Thanjavur menuju ke Suvarna Dvipa.”

"Bagaimana pula dengan Tambra Lingga dan Patani Seri Negara?" wajah Rajendra Chola kelihatan berkerut sedikit. "Tempat-tempat itu agak jauh ke utara di sebelah pantai timur Semenanjung Emas. Pasti sukar sedikit bagi kita untuk mengendalikan sebarang serangan mengejut ke sana, kerana mereka berkemungkinan akan mendapat khabar tentang tindak-tanduk kita terlebih dahulu."

"Hamba cadangkan untuk negeri-negeri itu kita gunakan pasukan pahlawan kita yang sedia berkhidmat dengan pangkalan seberang laut kita di Kemboja Negara," ujar Agnimitra. "Hamba sudah berhubung dengan Maharaja Surya Varman tentang perkara itu, dan Baginda tiada sebarang halangan terhadapnya."

"Memang jangka Beta begitu," balas Rajendra Chola. "Kerana Sang Rama Vijaya adalah saingan sengit Surya Varman di Rantau Tenggara."

“Sudah terlalu lama si bedebah Sang Rama Vijaya itu begitu meta dengan Beta,” sambung Rajendra Chola selepas terdiam sejenak. “Seperti dia belum serik lagi dengan kekalahan teruk Palembang ditangan bala tentera Chola Mandalam di zaman bapanya, Mara Vijaya.”

“Patik rasa, mungkin Sang Rama Vijaya menyimpan angan-angan besar untuk membalas dendam ke atas serangan kita yang itu, Tuanku. Namun, patik yakin, ia akan kekal sebagai angan-angan kosong.”

§
Tiga ratus buah kapal angkatan samudera Chola Mandalam belayar menghampiri pantai Kedah Negara, di layar setiap kapal tertenun gambaran besar Garuda, haiwan sakti tonggangan Dewa Vishnu. Maka digelar orang gerombolan bahtera itu Geroda Chola. Dipimpin oleh seorang cucu Rajendra Chola, bergelar Janaka Raja Chola (Beema Senan), bergerak dari pangkalan mereka di Kepulauan Nakka Varam. Mereka dihadang dan ditentang hebat oleh empat ratus buah kapal angkatan gabungan Kedah Negara dan Gangga Negara, kelolaan Raja Gangga Shah Johan, yang menunggu ketibaan mereka.

Namun, persenjataan dan kelengkapan bala tentera Chola Mandalam nyata terlalu canggih. Dan para pahlawan laut mereka terlalu handal. Tiga ratus tujuh puluh buah kapal bala tentera Raja Gangga Shah Johan dengan segala isi dan orangnya hancur musnah di tengah lautan. Itu belum lagi bala tentera musuh menghampiri kawasan muara Sungai Merbok.

Seangkatan lagi bala tentera laut Chola Mandalam, pimpinan Uttama Chola Brahma Marayan, membetung terus menuju Palembang. Sang Rama Vijaya murkanya membuak-buah. Lantas baginda mengarahkan seluruh tentera darat Palembang Srivijaya mengumpulkan sebanyak mana gajah perang yang ada.

Manakala segerombolan lagi bala tentera Chola Mandalam, dikepalai seorang lagi panglimanya, menghala ke utara, ke kota Takkola.

Rancangan Sang Rama Vijaya hendak menghancurkan angkatan Chola Mandalam di darat. Biar pasukan musuh gugur bergelimpang bersempalai di bendang padi, menjadi baja padi, di tebing Sungai Musi atau di kaki Bukit Siguntang.  Hanya itu satu-satunya pilihan yang masih ada, fikirnya.

Biarlah di antara Palembang Srivijaya dan Chola Mandalam berentap habis-habisan kali ini. Berentap hingga ke titisan darah yang akhir. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan, renungnya lagi.

Di kalangan para panglima Palembang Srivijaya ada yang mengusulkan kepada Sang Rama Vijaya supaya dianjurkan rombongan ke Semenanjung Emas. Untuk meminta bantuan daripada negeri-negeri anggota Pakatan Pantai Timur di sana. Kata mereka, jika bala tentera Palembang berpadu tenaga dan bergabung kekuatan dengan Angkatan Pantai Timur, ia akan menghasilkan suatu gandingan yang agak ampuh, seperti pernah berlaku ketika serangan gabungan Wura Wari-Palembang ke atas Mataram sembilan tahun yang lalu. Gandingan yang dijangka berpeluang baik untuk menumpaskan serangan Chola Mandalam.

Namun Sang Rama ketika itu belum habis perseteruan lanjutnya dengan Raja Shakranta, raja negeri Amdan Negara sekaligus Panglima Agung Angkatan Pantai Timur. Maka baginda masih terlalu berdegil dan bermegah dengan kehebatan Palembang untuk mempertimbangkan cadangan itu.

Berbuat demikian sudah tentu akan menurunkan martabatnya sebagai maharaja seluruh Persekutuan Agung Palembang Srivijaya di mata rakyat jelata di bumi Langkasuka. Malah di seluruh Semenanjung Emas serta Kepulauan Emas. Kerana sebelum ini dia pernah memperlekehkan Shakranta. Itulah kebimbangannya.

§
“Sejak zaman Raja Sima Vishnu, raja negeri Pallava di zaman nenek moyang kita lagi, orang Tamil berhasrat mengawal kegiatan puak lanun di Rantau Tenggara ini. Dengan memperdiri sebuah kerajaan memerintah yang menyokong kepentingan para saudagar berbangsa Tamil di Semenanjung Emas. Namun hanya kini ... iaitu tiga abad kemudian ... sebagai hasil daripada usaha memperkasa dan memperbisa angkatan tentera laut Chola Mandalam yang dirintis oleh Ayahanda Beta ... iaitu Raja Raja Chola ... baru kita berjaya mencapai cita-cita ini.”


Demikian titah Rajendra Chola dengan megah semegah-megahnya kepada anggota bala tentera Chola Mandalam yang dipimpin baginda. Sejurus selepas mereka berjaya menewaskan sepenuhnya bala tentera Palembang, kemudian mendapat berita bahawa angkatan Chola Mandalam pimpinan cucunya pula berjaya menumpaskan Kedah Negara dan Gangga Negara.


Begitulah kisah kekalahan Kedah Negara serta Gangga Negara ke tangan angkatan laut Chola Mandalam pimpinan cucu Rajendra Chola, raja Chola Mandalam. Palembang juga kesudahannya kecundang kepada Geroda Chola. Gara-gara angkuh dan bongkaknya maharaja Palembang Srivijaya yang baru, Sri Sang Rama Vijaya Thungga Varman.

Kisah yang di sampaikan kepada Panglima Shakranta oleh seorang saudagar dari Kedah Negara yang datang berkunjung menziarahinya di Mahligai Dharkusuma, di Bukit Panau, semasa persinggahannya di Amdan Negara. Dalam pelayarannya menuju ke Angkor Kemboja dan seterusnya ke Champa Negara.

Petah benar lidah si Rajendra itu, fikir Shakranta. Lancarnya baginda bercerita tentang angkara puak lanun di Rantau Tenggara. Namun, bukankah baginda sendiri yang menyelia usaha merompak dan menyangak segala emas, permata dan kekayaan lain yang terhimpun di biara Dewi Tara di lereng Bukit Siguntang selepas kemenangannya?

Dipunggah dan diangkut segala harta kekayaan yang telah terkumpul di biara itu sejak sekian lama. Di masukkan ke dalam kapal-kapalnya yang berlabuh di pelabuhan. Termasuk pintu gerbang Vidhya Dara Torana yang bersalut emas sepuluh setebal tiga jari dan bertatah ratna mutu manikam. Bakal dibawa pulang ke Chola Mandalam. Buat membiayai pemesatan dan pembesaran bala tentera Chola Mandalam yang semakin hari semakin bertambah ramai bilangan anggotanya. Entah bilakah si gila itu akan terhenti kegilaannya, fikir Shakranta. Fikiran itu membuatnya terasa begitu jijik hingga terasa mual dan loya di tekaknya.

§

“Kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sri Rajendra Chola Gankai Konda Chola, Raja negeri Chola Mandalam dan seluruh jajahan takluknya. Sudi kiranya dibuat tatapan akan perutusan Kita yang tidak sepertinya ini.”

“Kita berasa amat sedih mendengar berita tentang sengketa di antara Tuan dengan saudara Kita, Maharaja Palembang Srivijaya, iaitu Sri Sang Rama Vijaya Thungga Varman. Sengketa yang berakhir dengan perang besar di antara pihak Chola Mandalam dan Palembang Sri Vijaya. Sungguhpun baginda Sri Sang Rama Vijaya sendiri sedikit waktu dulu pernah beria-ia untuk menyerang negeri Kita.”

“Yang lebih-lebih lagi mengharukan hati Kita adalah kisah sengsara dan derita yang dialami oleh rakyat jelata Kedah Negara dan Gangga Negara, iaitu dua negeri anggota Persekutuan Kadaram, negeri gabungan yang seterusnya pula menjadi negeri naungan Persekutuan Agung Palembang Sri Vijaya. Kerana, pada pengamatan Kita, bukannya mereka yang bersalah. Maka mengapakah pula mereka yang harus menanggung padahnya? Hingga Kita dengari bahawa Kedah Negara kini menjadi seperti padang jarak padang tekukur adanya.”

“Perbalahan Chola Mandalam adalah dengan Palembang. Maka Kita langsung tidak dapat menerima bahawa Kedah Negara dan Gangga Negara, yang merupakan hanya sekadar dua buah negeri naungan Palembang Sri Vijaya, yang menjadi mangsa kegeraman Tuan.”

“Kita sedari serta akui bahawa negeri Kita, Amdan Negara, memanglah tidak sehebat atau sekuat mana. Begitu juga negeri-negeri yang lain dalam Persekutuan Langkasuka ataupun Persekutuan Kadaram. Seperti Gangga Negara, Patani Negara, Negara Sri Dharmaraja, Terengganu Primula Negara serta Pahang Indra Pura. Namun, kami semua tetap punya pendirian yang sama. Yakni, kami tidak langsung rela melihat sebarang negeri bersaudara di Semenanjung Emas ini, sama ada dalam Persekutuan Langkasuka atau Persekutuan Kadaram, diserang, digempur dan diperkosa sebegitu rupa oleh sebarang kuasa asing. Lebih-lebih lagi sebuah kuasa asing yang datangnya begitu jauh, beribu persangga jauhnya, dari luar kawasan Rantau Tenggara ini.”

“Dengan ini, Kita ingin menyampaikan sebuah nasihat yang tidak seberapa kepada Tuan. Pihak Chola Mandalam mungkin berjaya menundukkan sesetengah daripada kami, negeri-negeri di Semenanjung Emas ini, untuk beberapa lama dengan kekuatan dan kehebatan bala tenteranya. Namun, percayalah, Chola Mandalam tidak mungkin teguh berdiri, tidak mungkin terus mandiri terus, di Semenanjung Emas ini buat selama-lamanya. Kerana kami semua akan sentiasa menentang dan berjuang, hingga suatu hari nanti seluruh Semenanjung Melayu bersih dan bebas, sebersih-bersihnya dan sebebas-bebasnya, daripada sebarang kuasa penceroboh, penjajah, penjarah dan penindas.”

“Zaman pencerobohan, penjarahan dan penaklukan oleh yang gagah terhadap yang lemah kini menghampiri waktu penghujungnya. Di masa akan datang, hanya negeri-negeri yang hidup dalam damai dengan negeri sahabat yang dekat dan jauh, kecil dan besar, melalui hubungan yang baik serta perdagangan yang bebas dan adil, yang akan teguh berdiri, terus mandiri dan sejahtera abadi. Manakala negeri-negeri ganas yang cuma taksub dengan menyerang, menjajah dan menjarah negeri lain, nescaya ia sendiri yang akan beransur roboh, runtuh dan akhirnya hancur lebur.”

“Maka lebih baiklah pihak Chola Mandalam berundur seberapa segera. Pulanglah ke negeri asal dan belajarlah berpada dengan harta kekayaan negeri sendiri. Kerana, bukannya Kita tidak tahu, bahawa di sanapun Chola Mandalam dikelilingi di segenap hala oleh negeri-negeri jiran yang memusuhinya. Negeri-negeri Singhala Nagara, Chalukya Barat, Pandya dan Hoysala, semuanya menanti hari dan masa yang sesuai untuk menghancurkan Chola Mandalam untuk selama lamanya.”

“Maka, sebagai raja negeri Amdan Negara, merangkap Panglima Agung Angkatan Pantai Timur, Kita mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada Tuan berserta setiap panglima bala tentera Chola Mandalam. Berundurlah dari negeri-negeri dalam Persekutuan Langkasuka serta Persekutuan Kadaram, malah dari seluruh bumi Semenanjung Emas. Berundurlah seberapa segera sebelum terlewat ... dan janganlah datang-datang lagi. Berundurlah ... atau suatu hari nanti ... Geroda Chola akan bertemu buku dengan ruas ... dan akan merasai padahnya ... pedihnya dan getirnya ... bila terkena penangan Naga Sakti Muna.”


Demikian watikah perutusan yang panjang berjela daripada Raja Shakranta kepada Rajendra Chola. Disampaikan kepada Rajendra Chola tiga minggu selepas kejatuhan Kedah Negara dan Gangga Negara dan seluruh wilayah jajahan keduanya kepada pasukan bala tentera Chola Mandalam pimpinan Janaka Raja Chola, cucu Rajendra Chola. Membisikkan sindiran yang halus tetapi pedas. Sekali dibaca berbunyi seakan nasihat yang sopan, namun hairannya membuat berderau darah penerimanya selepas diamati berulang kali.


“Kurang ajar!!!” dengus Rajendra. “Baru setahun dua dia beroleh kembali takhta nenek moyangnya yang sudah roboh berabad-abad. Hari ini dia sudah pandai hendak mengajar kita. Sudah berlagak seperti seorang raja besar. Ini semua adalah angkara Mara Vijaya, bapa Sang Rama Vijaya. Dialah yang terlalu mudah memerdekakan seluruh wilayah yang dulunya milik Amdan Negara daripada pertuanan Palembang lapan tahun yang lalu. Kerana dia terlalu memerlukan bantuan Shakranta untuk membantu angkatan gabungan Wura Wari-Palembang menyerang Medang Mataram.”

“Habis, Tuanku ... apakah langkah seterusnya yang harus kita ambil?” penasihat Rajendra bertanya. “Pendapat patik, sebarang raja kecil yang terlalu biadap seperti Shakranta tidak boleh kita biarkan begitu sahaja. Nanti raja-raja negeri lain dalam Persekutuan Langkasuka akan terikut-ikut dengan sikapnya. Patik khuatir ... kalau-kalau nanti ... Terengganu Primula Negara dan Pahang Indera Pura pula yang berani memberontak menuntut merdeka. Kebetulan pula ... kedua-dua negeri itu menjadi negeri anggota Pakatan Pantai Timur yang keseluruhan bala tenteranya secara gabungan, yakni Angkatan Pantai Timur, kini dipimpin oleh Shakranta.”

“Panglima Agnimitra!” Rajendra bertempik lantang. Mukanya masam mencuka. “Buat persediaan untuk menyerang Amdan Negara. Kita ajar si Shakranta keparat itu segera ... baru nanti dia tahu siapa Rajendra Chola yang sebenarnya.”

“Ampun, Tuanku,” sahut Panglima Agnimitra, sambil memintal-mintal hujung misainya yang hitam lebat itu. “Titah Tuanku patik junjung sebaik-baiknya.”

No comments:

Post a Comment