Monday, August 6, 2012

Chapter 34: Fall of a Powerful King


Pulau Sumatra, 990 Masihi.
Di zaman pemerintahan Maharaja Chulamani Warma Dewa, kerajaan Palembang yang menerajui Mandala Agung Srivijaya sering menerima serangan sengit oleh bala tentera kerajaan negeri Medang I Bhumi Mataram. Rajanya yang baru, Dharma Wangsa Tguh Ananta Wikrama, bersemayam di Keraton Watu Galuh di Kota Turriyan di Daerah Mataram, menggantikan ayahandanya Makuta Wangsa Wardhana.

Mataram di bawah pemerintahan Dharma Wangsa semakin sering dan semakin garang menyerang Palembang dan Jambi. Chulamani hampir mati akal hendak menyelesaikan masalah itu. Mengapakah kerajaan Jawa itu terlalu ganas dan gelojoh ingin menakluki dan wilayah negeri naungan Palembang Srivijaya?

Tidak cukup lagi dengan nenek moyang Dharma Wangsa memperoleh wilayah milik Sailendra di Jawa Tengah. Wilayah yang dirampas oleh kerabat raja Mataram melalui penipuan besar dengan mengahwini putera mereka Rakai Pikatan dengan Pramowardhani puteri Samara Thungga raja Sailendra.

Kini Dharma Wangsa bercita-cita besar hendak merampas sebanyak mungkin saki-baki wilayah negeri-negeri naungan kerajaan Palembang Srivijaya. Kerajaan yang diwarisi oleh Bala Putra Dewa iaitu nenek moyang Chulamani. Bala Putra itu putera Samara Thungga, maka pewaris wajar takhta Sailendra, yang mereka usir itu ibunya seorang puteri Srivijaya, iaitu Puteri Tara, puteri kepada Raja Dharma Sethu.

Ketika sebahagian besar bala tentera Palembang berada di Perlak dan Samudera Pasai kerana menundukkan pemberontakan di sana, yang semakin ramai orang-orang negerinya nya memeluk ajaran baru bernama Islam termasuk raja-raja mereka sendiri, Dharma Wangsa dengan sokongan para waris ningrat pelarian Mataram di Banten Girang mengambil kesempatan melakukan serangan besar-besaran ke atas Palembang.

Chulamani jelas tersilap langkah, terlalu berlembut dengan putera-putera Jawa di Banten Girang, membiarkan mereka melebarkan pengaruh hingga ke Lampung dan wilayah bersekitar di selatan Pulau Sumatra. Dengan bantuan mereka itu yang menguasai Selat Sunda, Dharma Wangsa berjaya menundukkan bala tentera Palembang Srivijaya di selatan Sumatra, lalu mara seterusnya hingga ke Palembang dan menaklukinya untuk beberapa bulan.

Tahun itu Chulamani menghantar utusan lagi kepada Maharaja Tai Zong, maharaja kerajaan Wangsa Song di negeri China. Baginda memohon bantuan maharaja Cina itu supaya dapat kiranya dikekang cita-cita besar Mataram. Namun, Maharaja Tai Zong seperti dalam keadaan serba salah. Mataram juga seperti Palembang. Mengakui pertuanan negeri China dan sering kali menghatar ufti kepadanya.

Maka Mataram juga, sebagaimana Palembang, dianggap oleh Tai Zong sebagai sahabat. Ditelan pahit, dibuang sayang. Dicubit paha kanan, paha kiri yang sakit. Dicubit paha kiri, paha kanan pula yang terasa. Apakan daya baginda, hanya sekadar dapat memberi nasihat. Bagi Tai Zong, kedua pihak itu terlalu tamak haloba, masing-masing gelojoh keterlaluan ingin menguasai keseluruhan laluan dagang di sekitar Kepulauan Emas. Mengapakah di antara mereka tidak boleh berdamai dan saling berbahagi kawasan pengaruh? 

Mungkinkah saudara sebapanya Raja Sujita, bekas maharaja Mandala Agung Srivijaya mengikut giliran sebelum Chulamani, kini bersemayam di Tambra Lingga sebagai raja agung seluruh Negara Seri Dharmaraja berserta segala wilayah jajahannya,  akan mempertimbangkan permintaan Chulamani untuk mendapatkan tentera bantuan? Atau mungkinkah dia ada perancangannya sendiri?

Chulamani sungguhpun tersingkir seketika dari Palembang tidak patah semangat. Dia menyusun rancang cara untuk membuat serangan balas, berkunjung ke negeri-negeri bersekutu di Sumatra dan Semenanjung Emas untuk memperoleh bantuan. Bala tentera gabungan yang dianjurkannya bergerak menyerang bala tentera Dharma Wangsa yang menduduki Palembang dari pelbagai hala.

Pahlawan Jambi bergerak dari utara, pahlawan Palembang sendiri dari kawasan pergunungan di hulu Sungai Musi, manakala pahlawan Semenanjung Emas menyeberangi Selat Saberkas dari Gelanggi Ayu. Bala tentera Dharma Wangsa berjaya ditumpaskan lantas diusir dari Palembang, sementara sekutu-sekutu Jawanya dari Banten Girang ditinggalkannya menghadapi nasib sendiri, akhirnya dibantai hancur berkecai oleh bala tentera gabungan anjuran Chulamani.

Palembang, 1016 Masihi.
Kini sudah lapan tahun Mara Vijaya Thungga Varman, putera kepada Chulamani Warma Dewa, menduduki takhta Palembang, mengambil alih daripada Aji Sumatra Bhumi, ayahanda saudaranya yang memangku takhta beberapa ketika. Sikap orang-orang Tamil dari Chola Mandalam yang semakin naik tocang begitu menjengkelkannya. Bahtera dagang mereka semakin besar. Pahlawan mereka yang mengiringi kapal-kapal saudagar itu juga kelihatan semakin bengis dan semakin ramai. Mereka kini semakin sukar hendak mendengar arahan pengawal pelabuhan di negeri-negeri naungan Srivijaya.

Di Pulau Jawa pula, Raja Dharma Wangsa yang sungguhpun usianya sudah jauh meningkat rupanya masih belum serik lagi. Dia menganjurkan pakatan dengan pelbagai sekutu baru di Pulau Jawa, kekuatan negerinya kini seperti semakin bersemarak semula. Serangan bertubi-tubi ke atas Palembang oleh Mataram berulang lagi.

Mungkinkah pahlawan bantuan dari negeri-negeri bersekutu di Semenanjung Emas mampu membantu Palembang untuk menangkis serangan Mataram yang bertali arus ini? Seperti yang berlaku di zaman bapanya Maharaja Chulamani dua puluh enam tahun yang lalu? Mara Vijaya selalu terfikirkan kemungkinan cara sama terlaksana lagi.

Mara Vijaya teringatkan pula akan Putera Shakranta, Panglima Agung Angkatan Pantai Timur di bumi Langkasuka. Cucunda kepada sahabat lama Chulamani, mendiang Putera Adhi Vira, juga digelar orang Panglima Jati Perkasa. Mungkinkah Shakranta, seperti datuknya Adhi Vira, mampu membantu bala tentera Palembang menewaskan bala tentera Jawa yang ganas dari Mataram itu jika permintaan sedemikian diajukan kepadanya? Lebih penting lagi, mungkinkah seluruh negeri-negeri anggota Pakatan Pantai Timur akan memberi persetujuan sebulat suara untuk merestui hasrat Mara Vijaya?

Rancang cara demi rancang cara difikirkan oleh Mara Vijaya untuk mengatasi masalah Mataram. Akhirnya, Mara Vijaya berpakat dengan rakan dagang di Pulau Jawa yang akhir-akhir ini semakin akrab dengannya, raja negeri Lwaram yang kebetulan juga punya pertalian keluarga yang rapat dengannya di sebelah bundanya, kini bersemayam di kota Wura Wari, ibu negeri Lwaram. Lwaram pula ketika itu antara negeri naungan Mataram yang paling setia, serta paling besar pembayaran uftinya, namun rajanya yang lebih dikenali dengan gelaran Raja Aji Wura Wari, dikatakan punya sedikit masalah peribadi dengan Raja Dharma Wangsa.

Lwaram juga sekutu rapat kerajaan Sunda-Galuh, yang Putera Mahkotanya, Sri Jaya Bhupati, yang ibunya seorang puteri Maharaja Chulamani, maka dia adik kepada Mara Vijaya, telah mengahwini seorang puteri Raja Dharma Wangsa. Raja Aji Wura Wari, raja negeri Lwaram itu, dirinya pula baru saja dilanda aib dan kecewa apabila hasratnya untuk mengahwini seorang lagi puteri Dharma Wangsa ditolak bulat-bulat, bersama segala ufti yang dibawa oleh rombongan peminangan.

§
Permaisuri Chintamani Ratna Ningsih (Pushpa Aryani Kusuma Ratna) (Ekawati Sulonjana Putri) (Rima Anggraini Kencana Sari) menghirup air kelapa muda yang baru dibawa oleh inangnya, melayani lamunannya. Isi kelapanya begitu lembut dan manis, sungguh enak dan menyegarkan tekaknya yang terasa kering kontang di waktu petang ketika cuaca panas membahang di musim kemarau panjang.

Suaminya, Maharaja Mara Vijaya, kini sudah berminggu-minggu di perbatasan, di daerah Lampung berhampiran Selat Sunda. Membuat persediaan terakhir untuk menyerang musuh ketat Palembang, iaitu Mataram. Serangan besar-besaran yang bakal dibuat secara berpakat dengan Raja Aji Wura Wari, raja negeri Lwaram, sebuah negeri sahabat kepada kerajaan bersekutu Sunda-Galuh. Serangan yang begitu diharap akan mematahkan kekuatan Mataram lantas menamatkan serangan-serangannya yang bertubi-tubi terhadap Palembang sudah berbelas tahun kebelakangan.

"Bala tentera mereka terlalu besar, Kanda. Dinda merasa sedikit bimbang terhadap keselamatan Kanda." Demikian Chintamani Ratna Ningsih menyuarakan kerisauannya sebelum pemergian Mara Vijaya bersama empat ribu orang pahlawan terhandal Palembang.

“Kita tiada pilihan lain, Dinda,” ujar Mara Vijaya. “Sudah berbelas tahun kita terpaksa beralah dengan Mataram. Sejak zaman Ayahanda Chulamani lagi. Kini tiba masanya keadaan sedemikian berakhir.”

“Tapi mereka terlalu kuat untuk kita, Kanda,” Chintamani menyambung hujahnya. “Tidakkah lebih baik kita menunggu dan bertahan di tempat sendiri?”

“Tidak, Dinda,” jawab Mara Vijaya. “Kita sudah selalu melakukan itu, namun mereka tetap membelasah kita setiap kali. Lebih baik bala tentera Palembang yang menyerang Medang Mataram di bumi mereka. Daripada kita menunggu mereka menyerang kita di bumi kita.”

“Kerana?”

“Kalau mereka yang menyerang kita di negeri kita, perkara biasa akan berlaku. Penduduk di sepanjang lembah Sungai Musi, hingga ke sekitar kota Palembang, akan lari bertempiaran. Maka akan tambah menyukarkan lagi pergerakan dan tindak balas bala tentera Palembang sendiri.”

“Habis bagaimanakah bala tentera kita akan menghadapi masalah yang akan timbul daripada jumlah bala tentera mereka yang jauh lebih besar, Kanda? Ia pastinya suatu cabaran yang amat sukar diatasi.”

“Kita akan membuat serangan mengejut dari pelbagai hala, dengan muslihat yang langsung tidak dijangka. Kita akan menggempur mereka di tempat yang sempit, membuat mereka berterabur dan porak-peranda, menghapuskan kelebihan yang mereka miliki daripada jumlah mereka yang besar. Malah, ramainya mereka akan tambah merumitkan lagi upaya mereka untuk bergerak dan bertindak balas.”

“Maka bagaimanakah perkara sebegitu boleh dilaksanakan, Kanda?”

“Maaf, Dinda. Itu adalah rahsia ketenteraan yang sulit di antara Kanda dan para panglima tertinggi. Perajurit bawahan tidak seorangpun akan mengetahuinya hingga ke detik terakhir. Kanda tidak dapat berkongsi sebarang maklumat tentangnya dengan barang sesiapapun, termasuk Dinda. Usahlah Dinda terlalu gundah-gulana. Kanda akan kembali membawa kemenangan gemilang untuk Mandala Agung Palembang Sri Vijaya.”

"Kanda sungguh bijaksana. Dinda amat bangga dengan Kanda."

"Bukan itu saja. Di zaman seorang nenek moyang Kanda, seorang raja negeri Sailendra, Maharaja Vishnu gelarannya, seorang raja negeri seberang yang terlalu celupar mulutnya menyuarakan hasrat hatinya ingin melihat kepala Maharaja Vishnu terpenggal dan dipersembahkan kepadanya di atas sebuah pinggan. Maka sehingga kini, Maharaja Vishnu masih tersohor dalam sejarah kerana menyerang negeri raja yang biadap itu dan menewaskannya, kemudian memberi titah supaya dipenggal kepala raja itu, lalu dipersembahkan kepada Maharaja Vishnu di atas sebuah pinggan."

"Maksud Kanda?"

"Kanda akan mengikut teladan Maharaja Vishnu. Maka, sebagai balasan kepada Raja Dharmawangsa yang sudah sekian lama begitu beriya-iya ingin memusnahkan kekuasaan Sri Vijaya, sebaliknya Kanda yang akhirnya akan memusnahkan kekuasaan Mataram."

Mara Vijaya berusaha sebaiknya untuk bertutur dengan nada yakin, demi menghalang kerisauan daripada membunga di hati permaisurinya. Namun dia tetap sedar bahawa sebarang rombongan menyerang Mataram pasti mengundang bahaya getir yang tidak mungkin dipandang sepi.

Peristiwa di Anjuk Ladang, kisah serangan Palembang ke atas Mataram di zaman nenek moyangnya Raja Dharmasethu hampir tiga abad yang lalu, bermula dengan beberapa kemenangan membuai semangat namun berakhir dengan pembantaian teruk di hutan Mataram, sentiasa menghantui jiwanya.

“Selamat jalan, Kanda. Moga-moga sejahtera dan berjaya.”

"Selamat tinggal dan terima kasih, Dinda. Sampaikan pesan Kanda kepada Sang Rama, ingatkan dia akan tugas penting yang telah Kanda pertanggungkan kepadanya. Ia mesti dilaksanakan dengan begitu kemas. Demi kesejahteraan Palembang serta seluruh negeri bersekutu yang bernaung di bawah naungan Persekutuan Agung Palembang Srivijaya."

"Baiklah Kanda."

“Bagus. Sentiasalah Dinda pantau serta awasi gerak-geri dan tingkah laku Sang Rama sebagai Raja Adhi Pati merangkap Putera Mahkota sepanjang ketiadaan Kanda. Beri nasihat yang sewajarnya kepadanya bila dirasakan perlu. Nanti Dinda laporkan kepada Kanda.”

“Kanda masih tidak cukup yakin dengan Sang Rama, kan?”

“Tidak begitu, Dinda. Dia adalah putera kita, maka suatu hari nanti dia pasti naik takhta Palembang sebagai pengganti Kanda. Cuma … dia kadang-kala membuat Kanda sedikit bimbang. Dia panas baran, dan terlalu mudah naik angin. Sebagai Raja Adhi Pati yang berperanan menyelia pentadbiran Kedah Negara pun dia menghadapi begitu banyak tentangan oleh para pembesar wilayah lain di Semenanjung Emas yang rimas dengan sikapnya."

"Habis apakah yang perlu dilakukan oleh Sang Rama untuk memperbaik dirinya?"

"Tindak-tanduknya selama ini sering kali terburu nafsu serta terpacu oleh perasaan yang memuncak dengan mendadak dan membuak-buak. Itulah bahagian yang perlu diberi perhatian olehnya. Andainya dia mahu menjadi seorang maharaja Palembang Srivijaya yang cukup berwibawa, disegani oleh semua pihak di hari muka.”

“Baiklah, Kanda. Akan Dinda laksanakan dengan sebaiknya."

§
Kedudukan Sunda-Galuh yang elok di kawasan pesisir Selat Sunda, menjadikannya sesuai sebagai sebuah pangkalan dagang, membuatnya diidami sebagai negeri sahabat oleh Palembang, Mataram mahupun Lwaram. Maka Sunda-Galuh itu umpama gadis jelita yang menjadi rebutan para jejaka. Lalu, sebagai cara bijaksana untuk menghindari permusuhan dengan negeri-negeri berjiran, Sunda-Galuh menjalin hubungan kekeluargaan yang rapat melalui perkahwinan dengan mereka.

Maka hubungan di antara Sunda-Galuh dengan tiga kerajaan yang berhampiran sempadan dengannya memang saling berkait-kaitan. Prabhu Sang Hyang Ageng, bapa Sri Jaya Bhupati, permaisurinya adalah anak mendiang Maharaja Chulamani, menjadikan Sri Jaya Bhupati itu anak saudara Mara Vijaya. Raja Aji Wura Wari pula yang berkerabat rapat dengan Mara Vijaya di sebelah ibu, permaisurinya adalah seorang adik Sri Jaya Bhupati.

Manakala seorang lagi adik Sri Jaya Bhupati bakal dijodohkan dengan Air Langga dalam tempoh enam purnama lagi, lalu akan menjadi isteri kedua Air Langga. Permaisurinya pula adalah anak kepada Dharma Wangsa, menjadikan Dyah Sri Lakshmi itu adik ipar Sri Jaya Bhupati. Demikian terjalin saling berkait hubungan kekeluargaan di antara beberapa kerabat raja di rantau itu.

§
Ketibaan Sri Jaya Bhupati, Putera Mahkota Sunda-Galuh, yang juga menantu kepada Raja Dharma Wangsa, bersama isterinya puteri sulung kepada Dharma Wangsa daripada permaisuri keduanya, disambut penuh meriah oleh seisi istana Palembang semasa ketiadaan Mara Vijaya. Kebetulan ibu Sri Jaya Bhupati juga adalah adik Mara Vijaya, jadi dia kerabat amat rapat.

Majlis keraian menyambut tetamu berterusan hingga ke lewat malam. Gending Srivijaya, tarian wajib tonton yang indah anggun memukau jiwa seluruh hadirin yang cukup bertuah mendapat peluang untuk menyaksikannya. Tarian mempesona yang pasti menjadi santapan mata kepada setiap tetamu istimewa yang bertandang ke istana Palembang.

Permaisuri Chintamani Ratna Ningsih akhirnya berundur ke kamar untuk beradu. Beberapa detik sahaja selepas bundanya hilang sepenuhnya daripada pandangan, Sang Rama Vijaya mengangguk halus kepada Ketua Pengawal sebagai isyarat rahsia. Tanpa disedari oleh Sri Jaya Bhupati dan isteri yang sedang asyik menonton persembahan.

"Hei!! Apa yang kamu buat ini?" Sri Jaya Bhupati tiba-tiba memekik.

"Ampun, Tuanku Putera,"  jawab Ketua Pengawal sambil memperketatkan lagi tali berkas di sekeliling tubuh Sri Jaya Bhupati. Orang kanannya berbuat serupa pada tubuh sang isteri yang meronta-ronta dan menjerit-jerit cuba melepaskan dirinya, namun tidak berjaya. "Arahan rasmi daripada peringkat tertinggi," Ketua Pengawal meneruskan.

"Kangmas Sang Rama!!" Sri Jaya Bhupati berpaling ke arah Sang Rama Vijaya dengan wajah hairan bercampur marah. "Apakah ertinya semua ini? Mengapa kami diperbuat begini?"

"Bertenanglah, Adinda Sri Jaya Bhupati," jawab Sang Rama Vijaya bersahaja. "Ini semua adalah demi kesejahteraan Palembang serta Sunda-Galuh sendiri. Biarlah di antara Palembang dan Sunda-Galuh terus berhubungan baik. Adinda berdua tidak akan apa-apa ... dengan syarat Adinda berdua tidak menentang ... dan memberi kerjasama penuh kepada kami. Apabila segala-galanya telah selesai ... Adinda berdua akan dibebaskan semula sepenuhnya."

Maka teringat pula oleh Sri Jaya Bhupati akan kedua orang tuanya, Prabu Sang Hyang Ageng raja Sunda-Galuh serta permaisurinya, yang ketika itu berkunjung ke kota Wura Wari atas undangan ke kenduri perkahwinan seorang puteri kerabat Raja Aji Wura Wari, sahabat akrab Mara Vijaya. Baru ketika itu Sri Jaya Bhupati terhidu bau suatu perancangan sulit, namun baginya ia terasa seperti sudah terlewat.

§
Secara senyap-senyap ... tanpa sebarang perisytiharan lantang dan megah bangga ... angkatan perang Lwaram dan Palembang, serta sebuah angkatan bantuan dari Semenanjung Emas, mara dari hala masing-masing ke tempat yang telah dirancang.

Putera Shakranta, selaku Panglima Agung Angkatan Pantai Timur, memimpin angkatan pahlawan dari Semenanjung Emas. Lima puluh buah kapal penjajap bersama sepuluh buah kapal pedewakan kini bersidai di muara Sungai Brantas. Kapal penjajap setiap sebuah berisi lima puluh pahlawan pemanah dan dua ratus pahlawan pemedang, setiap orang berpakaian seperti pahlawan Palembang.

Manaka kapal pedewakan, bahtera dagang besar yang dibina di Amdan Negara dengan penyeliaan tukang kapal Bugis dari Makassar, diubah suai menjadi bahtera perang, setiap sebuah membawa seratus pahlawan berkuda perang gergasi, setiap pahlawan dan kudanya berpakaian perisai yang tidak lut senjata.

Pada layar setiap kapal terlukis lambang besar panji-panji Palembang, megah gemilang kelihatannya bila layar terik ditiup angin pantai.   

Kota Turiyyan letaknya kira-kira tiga persangga jauhnya, iaitu lebih setengah pagi perjalanan, dari muara Sungai Brantas. Cukup masa untuk angkatan semenanjung yang menyamar sebagai pahlawan Palembang mendarat di pantai dan membuat persediaan terakhir. Maka seisi angkatanpun turunlah dari kapal masing-masing, lalu menyusun barisan sendiri dengan sebaiknya, langsung melakukan sedikit gerakan pemanas badan sebelum membuat serangan.

Pasukan pahlawan berkuda berpecah kepada enam ketumbukan, masing-masing membuat pergerakan larian berulang kali. Kuda-kudanya menderap, meligas, seterusnya merejang sekencang taufan, setiap penonggangnya melibas, merembat dan menetak udara bertubi-tubi dengan pedang mereka yang tajam berkilat. Sekali sekala mereka menyarung kembali pedang mereka, mengenakan pula busar panjang mereka, lantas melepaskan panah besar darinya.

Mereka kelihatan begitu hebat dengan kuda-kuda gergasi mereka yang sekali sekala meringkik nyaring begitu bengis, seperti hauskan darah. Pakaian perisai mereka, berbentuk baju rantai berpadan dengan kepingan pelindung dada, serta salutan perisai pada tubuh kuda mereka, berkilau bergemerlapan dalam sinar surya lewat pagi.

Pasukan pemanah pula melepaskan ratusan panah ke udara pada setiap isyarat yang diberikan oleh ketua ketumbukan masing-masing. Dengan setiap isyarat, ratusan busar menyanyi berdendang, getarnya berdengung enak membelai anak telinga. Disusuli ratusan panah terbang melayang, berdebus-debus mengerikan bunyinya di udara.

Lalu penduduk di sekitar muara pun tercengang dan terpegun melihatnya, terutama pasukan pahlawan berkuda gergasi yang berpakaian perisai penuh, termasuk kuda-kudanya sekali. Tidak terduga oleh mereka bahawa pahlawan Palembang kini begitu hebat, dan sudah berani menyerang negeri mereka, kerana sudah sekian lama angkatan Palembang rebeh dan longlai di medan tempur di wilayah mereka sendiri setiap kali diserang oleh bala tentera Mataram.

§
Ketumbukan pertama pahlawan Wura Wari seramai tiga ribu orang, dipimpin oleh Raja Aji Wura Wari sendiri, bergerak dari arah Pantai Parang Teritis. Manakala ketumbukan keduanya, berjumlah dua ribu lima ratus pahlawan, dikepalai oleh Panglima Shankara, bersembunyi di kawasan hutan tebal berhampiran Kampung Bumi Segoro, kira-kira sepersangga jauhnya dari Candi Borobodur. Mereka bergerak melalui kawasan hutan tebal, menuruni cerun yang curam dari arah Gunung Merapi.

Empat ribu pahlawan Palembang pula berpecah dua. Sepasukan daripadanya menyertai ketumbukan pertama dan kedua angkatan Wura Wari. Sementara sepasukan lagi, dipimpin oleh Mara Vijaya, bersembunyi di sebuah kawasan hutan di sekitar pertengahan jalan di antara Kota Turiyyan dan muara sungai Brantas.

Berita angkatan bahtera pahlawan Semenanjung Emas di muara Sungai Brantas, yang disangka oleh penduduk tempatan sebagai angkatan laut Palembang yang tidak semena-semena menjelma, segera sampai ke telinga Raja Dharma Wangsa dan adindanya Permaisuri Mahendra Datta dari negeri Bali. Ketika mereka berdua sedang asyik meraikan majlis kenduri perkahwinan Dyah Sri Lakshmi, puteri Dharma Wangsa, dengan saudara sepupunya Air Langga, putera kepada Mahendra Datta dan Raja Udayana. Perkhabaran dibawa oleh beberapa orang anak muda yang menonggang kuda padi merejang kencang dari perkampungan mereka berhampiran muara.

“Kurang ajar!!!” Dharma Wangsa mendengus lantang. “Mereka ingat mereka sehebat mana??? Berani sungguh mereka bermain api dengan Mataram!!! Dalam banyak-banyak hari, hari ini pula yang mereka pilih!!! Nanti ku ajar mereka cukup-cukup!!!”

Dengan penuh kelam kabut bercampur geram dan berang yang membuak-buak Dharma Wangsa mengerah tiga suku daripada bala tenteranya supaya bergerak segera menuju ke muara untuk menghadapi angkatan musuh ketat yang langsung tidak dijangka itu.

Ketumbukan pertama angkatan Wura Wari, pimpinan Raja Aji, membetung terus menuju Istana Keraton Watu Galuh, tempat bersemayam Raja Dharma Wangsa. Semakin mereka menghampiri kota Mataram semakin lantang bergema tempik perang mereka.

Manakala ketumbukan kedua mereka, pimpinan Panglima Shankara, menghala ke pertengahan jalan besar dari kota yang menuju ke muara. Sebaik sampai di tempat yang dituju, mereka menyelinap masuk semula ke kawasan hutan kira-kira lima puluh depa dari jalan.

Bedebum! Gedegang! Bedebus! Gedegum! Bedebab! Pelepum! Pelbagai bunyi ledakan terdengar dari arah muara. Membuat semakin geram lagi bala tentera Mataram yang menuju ke muara. Setiap bunyi ledakan disusuli dengan semarak lidah api raksaksa yang menjilat dan menelan segala apa yang boleh menyala di sekelilingnya.

“Fiewww!” Sebuah siulan nyaring terbit dari bibir Panglima Shankara. “Itu pasti kerja Panglima Shakranta,” ujarnya kepada pengikut-pengikutnya. “Dia gemar benar bermain dengan debu mesiu dan habuk belirang."


§
Ketika bala tentera Mataram berada kira-kira setengah persangga daripada muara, segerombolan pahlawan asing yang tidak dikenali mereka tiba-tiba keluar dari kawasan hutan ke tengah jalan, menghalang laluan bala tentera Mataram. Semakin lama semakin ramai bilangan mereka, semakin cuak pula pahlawan Mataram yang tidak cukup bersedia. Ketumbukan Wura Wari pimpinan Panglima Shankara rupanya.

Dalam bala tentera Mataram masih tercengang dan tergamam dengan kemunculan sepasukan pahlawan musuh yang tidak di jangka di hadapan mereka itu, kelihatan muncul pula sepasukan lagi pahlawan asing di jalan yang sama, kali ini di arah ke belakang daripada kedudukan bala tentera Mataram. Angkatan Palembang pimpinan Mara Vijaya pula.

Sejurus kemudian, muncul lagi seketumbukan pahlawan asing, bergerak menyusuri jalan, datangnya dari arah muara. Kali ini sepasukan pahlawan bertubuh besar menonggang kuda gergasi, berpecah seterusnya kepada dua pasukan, menuju ke kiri dan kanan kedudukan pahlawan Mataram.

Bala tentera Mataram, sungguhpun agak ramai bilangannya, kini tersepit dan terkepung sepenuhnya, dari empat hala yang bertentangan.

§
Habuk dan debu berhambur bertabur, lantas berkepul-kepul di udara. Bongkah batu-batan yang merah menyala bergolek turun perlahan dari arah puncak gunung, beransur-ansur bergolek meniti lereng gunung, hingga ke kaki gunung. Tiba-tiba kedengaran suara seseorang orang memekik melaung.

“Gunung Merapi meletup lagi!!!” seorang lelaki berteriak lantang. “Laharnya akan muntah memancut-mancut sebentar lagi!!!”

“Lari!!! Lari!!!” seorang rakannya bertempik  nyaring. “Jangan berlengah lagi!!! Ayuh kawan-kawanku!!! Lari segera!!!”

“Sekarang baru letupan kecil-kecilan!!!” jerit seorang lagi. “Peringkat permulaan!!! Ia akan semakin membesar!!! Selamatkan nyawa kalian dan kaum keluarga kalian sebelum terlewat!!!”

Bunyi berdentum-dentam dari arah kawasan pergunungan terus kedengaran. Semakin lama semakin nyaring bunyinya.

Penduduk desa dari sekitar kawasan kaki pergunungan mula berlari kesana-sini saling maklum-memaklumkan di antara mereka. Yang baru mendapat tahu memberitahu yang belum. Yang kelapangan menyampaikan segera kepada yang sedang asyik kerana menjalankan tugas. Mereka semua kemudiannya lari bertempiaran meninggalkan rumah mereka membawa bersama isteri serta anak-anak mereka. Yang kecil sekali dipaut bertenggek diatas tengkuk. Yang besar sedikit didukung di pinggang. Yang lebih besar lagi dipimpin di tangan.

Semuanya lintang-pukang menyeberangi Dataran Kedu. Sesetengah daripada mereka singgah seketika di Candi Lara Jonggrang yang tersergam indah di kota Prambanan, buat memohon ehsan dan restu para dewa agar melindungi mereka daripada malapetaka yang seperti tiba-tiba menjelma. Namun kebanyakan yang lain meluru menyerbu ke arah Lembah Sungai Brantas, lalu secara kebetulan menghala ke tempat berlangsungnya majlis kenduri pernikahan di raja di Istana Watu Galuh di Kota Turiyyan. Seluruh persekitaran bermula dari kaki pergunungan menjadi hiruk-pikuk, kelam-kabut dan porak peranda, keadaan demikian semakin lama semakin merebak ke hala kota dan lembah sungai.

Orang-orang di Istana Keraton Watu Galuh tiba-tiba tergamam. Mereka tidak pernah mendengar bunyi letupan senyaring itu sepanjang hayat mereka. Mahupun semarak lidah api sebesar itu. Mereka hanya pernah mendengar kisah dongeng tentangnya daripada cerita orang tua-tua. Memang kini mereka yakin bahawa Gunung Merapi meledak lagi. Maka keadaan merekapun turut serta menjadi tak keruan. Kejadian tidak dijangka di tengah-tengah suasana penuh kemeriahan kenduri perkahwinan diraja membuat kebanyakan daripada mereka detik demi detik semakin hilang pedoman.

§
Raja Dharmawangsa, bersama permaisurinya, begitu asyik menonton persembahan pelbagai tarian dan seni budaya Jawa. Petang tadi puterinya, Dyah Sri Lakshmi, telah dikahwinkan dengan Air Langga, putera kedua Ratu Mahendra Datta, adinda bongsunya sendiri. Akhirnya seorang zuriat Mpu Sindok Sri Isyana juga yang menjadi menantunya. Wangsa Isyana akan kekal sebagai teraju pemerintahan di takhta Mataram. Kini hatinya terasa begitu lega.

"Kangmas Gusti Prabhu Dharma Wangsa, sahabatku!" terdengar suara lantang seakan suara seorang panglima. Raja Aji Wura Wari rupanya. “Maaf, Gusti Prabhu. Diriku datang tanpa diundang. Sukar bagiku hendak menghindari pesona majlis yang gilang-gemilang."

Raja Dharma Wangsa yang sedang asyik berceloteh dengan para ningrat dan pembesar keraton Mataram tersentak, tercengang, lidahnya kelu seketika. Namun dia memaksa dirinya supaya pulih segera daripada terperanjatnya.

"Dingmas Raja Aji!" Dharma Wangsa membalas, cemas di hatinya dikekang keras agar tidak ketara di wajahnya. "Sungguh tidak diduga datangnya Dingmas. Err ... maksudku ... kedatangan Dingmas membuatku sungguh teruja. Raja Aji Wura Wari ... raja negeri Lwaram ... negeri sekutu yang paling setia bagi Mataram."

"Tidak usahlah kau berlakon lagi, Dharma Wangsa!!" ujar Raja Aji Wura Wari. "Tembelangmu sudah pecah berkecai. Rencanamu kini diketahui semua. Kau pembohong. Penipu. Pendusta dan pengkhianat paling durjana! Tergamak kau membuat perancangan sulit untuk meracun dan membunuhku, sekutumu sendiri. Sudahlah kau mengaibkanku dengan menolak pinanganku ke atas anakmu. Tidak sekali-kali ku sangka, tamak halobamu, gila kuasamu, tiada langsung batasannya!"

"Dongeng ciptaan siapakah ini? Siasat dulu benar atau palsunya, Raja Aji!"

"Seorang pahlawanku yang beristerikan gadis Mataram menyampaikannya kepadaku. Dia beroleh khabar rahsia tentangnya daripada kaum kerabat isterinya."

"Bawa dia ke mari! Biar dia bersemuka denganku!"

“Malangnya … dia sudah tiada lagi di dunia ini. Dia diserang dan dibunuh oleh segerombolan pahlawan Mataram di perbatasan … semasa mengiringi isterinya pulang untuk menziarahi orang tuanya di Bumi Segoro.”

“Maksudmu … segerombolan pahlawan Palembang yang berpakaian seperti pahlawan Mataram?”

“Aaah! Jangan kau cuba hendak memutarbelitkan duduk perkara, Dharma Wangsa. Semua orang tahu tentang usaha giatmu yang tiada henti untuk menakluki Wura Wari dan menggabungkannya dengan Mataram.”

“Usahaku … usaha muliaku … usaha agung Mataram … tiada kaitannya langsung dengan pembunuhan pahlawanmu itu! Aku pasti ia berpunca daripada perancangan sulit Palembang.”

“Ches! Dasar sang raja bongkak! Tak sedar diri! Pendusta cabuk! Pengkhianat busuk!!!”

“Hulubalang!!!,” Dharma Wangsa memerintah lantang. “Tangkap dan berkas si gila ini! Rantai dia dengan belenggu besi! Dan humban dia ke dalam rumah pasung segera!”

“Ternyata kau masih seperti dulu, Dharma Wangsa,” Raja Aji Wura Wari tersenyum menjebih. “Yakin dirimu sentiasa jauh melebihi kemampuan sebenarmu. Seluruh istana keratonmu sudah dikepung oleh bala tenteraku! Sekarang … buatlah pilihanmu. Sama ada di antara kau dan aku beradu kehandalan satu lawan satu … ataupun bala tentera Wura Wari akan bertempur habis-habisan dengan bala tentera Mataram. Hari ini … antara Wura Wari dan Mataram … antara Raja Aji dan Dharma Wangsa … akan membuat perhitungan terakhir di Keraton Watu Galuh ini!”

“Bangsat!!!” Dharma Wangsa mendengus. “Janganlah kau begitu bodoh, Raja Aji. Bala tenteraku ... Harimau Mataram ... akan merobek dan mengoyak-rabak bala tenteramu!”

“Seperti biasa, kerana keangkuhanmu, kau sering tersilap langkah, Dharma Wangsa,” ujar Raja Aji Wura Wari. “Bala tenteramu yang masih berupaya untuk membelamu … cuma tinggal sekitar seribu lima ratus orang pahlawan di istana ini. Yang empat ribu lagi itu … yang telah kau kerah ke muara itu … mereka sudah terkepung sepenuhnya oleh ketumbukan kedua Wura Wari, ketumbukan pertama Palembang dan pasukan pahlawan berkuda gergasi dari bumi Langkasuka … di pertengahan jalan dari kota ke muara. Saat ini juga, bala tentera Mataram kebanggaanmu itu sedang berdepan dengan kehancuran!!!”

“Panglima!!!” Dharma Wangsa bertempik lantang kepada Ketua Gerombolan Pengawal Diraja merangkap Panglima Agung Mataram. “Susun barisan setiap anggota bala tentera yang ada. Kita tunjuk kepada anjing-anjing bangsat ini betapa buruk padahnya mengusik Harimau Mataram! Sarang tebuan pantang dijolok ... ekor buaya jangan ditepuk!!”

“Narothama!” Dharma Wangsa berpaling ke arah seorang hulubalang bertubuh tinggi besar berotot sasa.

“Ampun, Gusti Prabhu,” orang itu menjawab.

“Jaga Dyah Sri Lakshmi dan Air Langga sepanjang masa! Jangan kau berenggang jauh dengan mereka hingga berakhir pertempuran ini! Bunuh barang siapa saja yang mengancam keselamatan mereka!”

“Titah dijunjung, Gusti Prabhu.”
§
Malam itu api membakar seluruh kota Mataram. Membuat suasana sekeliling terang benderang seperti siang. Di celah-celah lidah api yang sedang gelojoh menjilat Keraton Watugaluh seorang anak muda yang agus rupa parasnya memimpin tangan seorang gadis jelita bergegas-gegas keluar dari pekarangan istana keraton. Mereka diiringi oleh seorang pengawal bertubuh sasa. Mara Vijaya, Shankara dan Shakranta lantas membidik panah masing-masing ke arah setiap seorang daripada mereka.

“Kamu bertiga!!! Berhenti!!!,” Mara Vijaya bertempik lantang.

Ketiga pelarian itu lantas tersentak. Terpaku kaku. Seperti patung sahaja gayanya.

“Jangan bergerak lagi!" Mara Vijaya meneruskan. "Walau sedikitpun. Dan campak segala senjata yang ada pada tubuh kalian ke tanah. Hei! Perlahan-lahan. Usahlah terfikirkan langsung sebarang tipu muslihat. Atau panah berbisa kami akan menyinggahi tubuh kalian. Menghabiskan riwayat kalian saat ini juga.”

Si gadis mendadak lantang kembali suara tangisnya. Tadi tersedu-sedan, kini terlolong-lolong. Hiba yang sedia meruntun jiwanya kini dihunjam ngeri pula. Bulu roma halus di tengkuknya meremang dan seluruh tubuhnya mula menggigil. Temannya serta pengawal mereka berdua masing-masing mencampakkan senjata mereka perlahan-lahan ke tanah … tepat mengikut perintah … hati resah gelisah … namun kini hanya mampu pasrah …

“Siapa kamu?” tengking Mara Vijaya kepada anak muda itu. “Dan siapakah teman-temanmu yang dua lagi ini?”

“Ha … hamba … Air Langga, Tuan,” jawab anak muda itu. Dia kelihatan gugup dan gementar. “Pu … Putera … kepada Raja Dharma Udayana dan Permaisuri Mahendra Datta Dharmapriya Gunapatni. Hamba ke … kemenakan kepada ... Raja Dharmavamsa Tguh Ananta Vikrama Deva. Gadis ini … is … isteri hamba … Puteri Dyah Sri Lakshmi. Dia … pu … puteri kepada … Dharmavamsa. Kami … baru saja … ber … bernikah … pe … petang tadi. Dan … ini … pe … pengawal hamba … Panglima Narothama.”

“Shankara! Shakranta!”  Sri Mara Vijaya berpaling ke arah dua panglima itu. Wajahnya kini bengis bengkeng seperti harimau lapar. “Apa yang terbaik yang harus kita lakukan?”

“Bunuh saja mereka, Tuanku” jawab Shankara dengan tegas tetapi tenang. Pedangnya terhayun-hayun di tangan kanannya. “Kalau tidak sudah pasti salah seorang daripada mereka ataupun zuriat mereka akan merancang balas dendam terhadap Palembang mahupun Wurawari satu hari nanti. Ini adalah lumrah alam … sekaligus … lumrah pahlawan.”

“Dan kamu, Shakranta,” sambung Sri Mara Vijaya menoleh semula ke arah Shakranta. “Apa pula pendapatmu?”

“Ampun Kita, Tuanku,” balas Shakranta sambil terkenang kembali detik-detik manis pernikahannya sendiri dengan Isabelle  semusim yang lalu yang masih segar dalam ingatannya, seperti baru semalam ia berlaku. “Sembah Kita harap diampun. Bukannya Kita berhasrat merumitkan keadaan. Akan tetapi … jika mengikut adat di negeri Kita … dikira amat tidak baik kalau menganiaya pengantin pada hari pernikahan.”

“Maksudmu kita biarkan mereka hidup? Bagaimana pula tentang masa hadapan? Tidakkah cara sebegitu bakal mengundang masalah suatu hari nanti?”

“Soal apa yang bakal terjadi di hari muka … itu terpulang kepada ketentuan … ia di luar kawalan kita. Kalaupun mereka sebagai pewaris kerajaan Mataram kita hapuskan serta merta … apakah dapat kita pasti bahawa tiada pihak lain dari Pulau Jawa ini … yang akan mengancam Palembang Srivijaya … mahupun Wura Wari … di masa mendatang?

“Ummm, ada betulnya juga pemerhatianmu itu,” ujar Mara Vijaya.

“Biarkanlah saja mereka pergi … Tuanku Maharaja. Fikir Kita … mustahil mereka berdua yang masih muda belia ini, bersama pengawal mereka yang seorang ini, akan dapat … mengancam Palembang … mahupun Wura Wari … dalam waktu terhampir ini. Namun … demi kepastian … dan agar sebarang keputusan yang dibuat tidak disesali … Kita cadangkan mereka dibelenggu dulu sepanjang malam ini. Sama ada hendak dibunuh atau dibebaskan … boleh diputuskan esok hari. Tidak perlu tergesa-gesa. Kerana … walau apapun yang diputuskan … bakal mencorak sejarah seluruh Pulau Jawa hingga berabad-abad ke kemudian hari. Begitupun … itu hanyalah … sekadar pandangan Kita. Ampun, Tuanku.”

“Bagus!” ujar Sri Mara Vijaya. “Satu pertimbangan yang terperinci. Hulubalang! Rantai mereka bertiga!”

“Tunggu!” Raja Aji Wura Wari tiba-tiba muncul entah dari mana. Tubuhnya luka-luka dan calar-calar di sana sini selepas memimpin ketumbukan pahlawan Wura Wari menggempur dan mengasak bala tentera Mataram yang berkubu di Keraton Watu Galuh sepanjang petang.

“Ayahanda Raja Aji!!!” gadis tadi melolong semula selepas terdiam seketika. “Tergamak Ayahanda melakukan ini semua kepada kami!!! Apakah salahnya kami semua … hingga Ayahanda sanggup bersekongkol dengan Palembang dan menganiaya kami begini rupa???”

“Ayahandamu sendiri yang punya angkara, Sri Lakshmi,” Raja Aji Wura Wari menjawab penuh tenang. “Bagiku, Mataram dan Palembang sama saja, kedua-duanya boleh bersahabat dengan Wura Wari mahupun Lwaram. Berhubung sengketa di antara Mataram dan Palembang, aku mulanya tidak ingin memihak kepada mana-mana pihak. Kerana, antara Dharma Wangsa dengan Mara Vijaya, kedua-duanya adalah sahabatku. Kalau boleh, ingin ku berusaha mendamaikan di antara keduanya. Akan tetapi, Dharma Wangsa berniat begitu jahat. Dia membuat perancangan sulit untuk meracun dan membunuhku!”

Air Langga menoleh ke arah sepupu sebaya usia yang baru dinikahinya, di wajahnya terbayang kehairanan.

“Tidak!!!”, Dyah Sri Lakshmi bertempik sambil terus menangis. “Itu tidak mungkin. Ayahanda Raja Aji berbohong!! Itu semua fitnah!! Tidak mungkin Ayahandaku berhasrat mengkhianati seorang sahabatnya sendiri!! Ayahanda Raja Aji berdendam kusumat kerana pinangan yang ditolak!!”

“Tidak, Sri Lakshmi. Sungguhpun diriku memang merasa teraib kerana itu, ku anggap ia sebagai ketentuan Dewata. Apapun, hakikatnya, sudah sekian lama Dharma Wangsa berusaha memaksa Wura Wari dan seluruh Lwaram ... supaya mengkhianati Palembang ... dan sebaliknya memperkukuh lagi hubungan sekutu dengan Mataram.  Setelah dia menghapuskanku, dia akan menyerang Wura Wari dan menakluki seluruh negeri Lwaram yang tiada lagi tonggak kekuatannya.”

“Begitu sekali?”

“Ya. Begitu sekali. Seterusnya dia akan menyerap seluruh Persekutuan Sunda-Galuh, yang Putera Mahkota dan pewaris takhtanya, Sri Jaya Bhupati,  adalah kini menantunya, dengan ketiadaanku sebagai kuasa pengimbang sekaligus pelindung. Lalu dia akan menjadikan seluruh bumi Sunda-Galuh sebagai naungan Mataram.”

"Dan seterusnya ... setelah seluruh Sunda-Galuh berada dalam genggamannya ..." Mara Vijaya menyelit, "dia akan menyeberangi Selat Sunda dengan angkatan terbesar dalam sejarah Mataram ... untuk menghancurkan Palembang. Lalu menakluki seluruh wilayah Mandala Agung Palembang Srivijaya ... di kepulauan serta di tanah besar!"

Dyah Sri Lakshmi dan Air Langga keduanya menoleh kepada Mara Vijaya, terbeliak mata mereka, tergamam seketika, kemudian mengalih kembali pandangan mereka kepada Raja Aji Wura Wari.

“Sungguh hebat cerita Ayahanda Raja Aji," Dyah Sri Lakshmi meneruskan. "Tapi itu semua dongeng!! Itu semua bohong!!”

“Bohong, katamu? Ya, orang Mataram memang terkenal dengan tipu perdayanya. Nasib baik seorang pahlawan Wura Wari yang berkahwin dengan gadis Mataram terhidu bau rancangan durjana Dharma Wangsa, dan menyampaikannya kepada ku. Kalau tidak, bermakna bukan nyawa Dharma Wangsa yang melayang hari ini, tetapi nyawaku sendiri dalam sedikit hari lagi. Dan musim ini bukan kerajaan Mataram yang roboh, tetapi kerajaan Wura Wari dan Lwaram!”
§
Keesokan harinya, debu perang mula bermendapan, setelah dibasahi hujan gerimis awal pagi. Tiga tawanan itu diberi makan secukupnya, seterusnya dibebaskan. Maka merekapun segeralah beredar. Takutnya mereka kiranya Maharaja Mara Vijaya tiba-tiba berubah hati. Sekejap berjalan, sekejap berlari, berjalan semula apabila keletihan, hingga akhirnya sampailah mereka ke pinggir hutan Vana Giri.

Lalu merekapun terus tinggal menetap di hutan Vana Giri, hidup di kalangan para petapa sekian lama. Maka kehidupan harian mereka, atau makan minum mereka, mahupun pakaian mereka, sekadar menyamai para petapa itu seperti seadanya.

“Kita sudah alah berperang. Tiada lagi pertempuran akan berlaku di antara Mataram dan Palembang … sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat ini. Namun janganlah kita semua orang Mataram berputus asa. Ini semua adalah ketentuan Dewata. Biarlah kita kini berusaha memperoleh kemenangan dalam kedamaian.” Demikian nasihat Panglima Narothama … kepada Air Langga dan Dyah Sri Lakshmi yang saban hari bermenung murung.

Maka Air Langga pun bersumpahlah, kiranya dia mendapat kembali takhtanya, akan membina sebuah ashram di tengah-tengah hutan Vana Giri itu.

§
Kebanggaan penakluk membuai jiwa Raja Aji Wura Wari. Sungguh tidak diduganya, bala tentera Wura Wari berperang begitu bersemangat hingga berjaya menumbangkan Mataram yang gagah perkasa. Sungguhpun dibantu oleh pasukan pahlawan dari Palembang serta bumi Langkasuka, barisan hadapan angkatan penyerang tetap terdiri daripada pahlawan Wura Wari. Kini, bumi Mataram bakal dikuasai Wura Wari, sejajar adat perang, yang menetapkan bahawa segala rampasan adalah hak milik pihak yang menang.

Dengan kemenangan gemilang bala tentera gabungan Wura Wari-Palembang, Mara Vijaya pun amatlah puas dan gembira hatinya. Kebetulan pula, tumbangnya kerajaan Medang Mataram oleh serangan Wura Wari-Palembang disusuli seterusnya tidak lama kemudian oleh malapetaka besar. Akibat letupan dahsyat Gunung Merapi yang membakar hangus seluruh negeri dan memusnahkan lebih banyak lagi harta benda serta mengorbankan jiwa lebih ramai lagi rakyat jelatanya. Lalu Mara Vijaya kini lega selesa bersemayam di takhta Palembang sebagai maharaja buat seluruh Mandala Agung Sri Vijaya, musuh ketatnya dari Pulau Jawa itu tiada lagi mengancam kesejahteraan kerajaannya.

Sebagai menepati janji murni dengan negeri-negeri bersekutu dan bersahabat, iaitu Pakatan Pantai Timur, Mara Vijaya merestui hasrat Amdan Negara untuk memperoleh merdeka sepenuhnya daripada Palembang tanpa sebarang tentangan. Manakala Pahang Indera Pura dan Terengganu Primula Negara terus mengakui pertuanan Palembang, sementara menunggu kesempatan lain bagi mereka sendiri untuk merdeka di hari muka. Begitupun Pakatan Pantai Timur semakin kukuh kedudukannya, kerana Palembang pun tiada lagi mampu menghalang dan mengekang kebangkitannya.

Kembang Seri Wangi seterusnya ditabal menjadi ratu negeri Amdan Negara, dengan gelaran penuhnya Ratu Agung Seri Dharma Amdan Negara. Mara Vijaya sendiri hadir diri bersama segerombolan besar pengiring terpilih sebagai tanda restu Palembang di upacara rasmi isytihar merdeka di Bukit Panau. Kembang Seri Wangi kemudiannya segera melantik puteranya Shakranta menjadi Putera Mahkota, manakala menantunya Isabelle diberi gelaran Puteri Mahkota.

Demikianlah, hasrat sekian lama Wangsa Dharmakusuma untuk bangkit semula sebagai golongan raja berdaulat yang memerintah negeri sendiri yang merdeka sepenuhnya, akhirnya tercapai dengan gilang-gemilangnya. Mujurnya ia berlaku dengan tidak terlalu banyak bertumpah darah menentang pihak yang menjajah, tetapi melalui akal dan perkiraan yang bijak bestari, memanfaatkan kesempatan yang muncul tidak semena-mena dengan sebaiknya.

§
Musnahnya Sebuah Kota Gagah
Maka musnahlah kota nan teguh
Terbakarlah keraton Watu Galuh

Dijilat lidah api semarak menggunung
Menebus segala dosa tertanggung

Asapnya melonjak ke langit nan sayu
Menonggang sayap sang bayu mendayu

Sang Gunung Merapi pun turut murka
Laharnya menyimbah membakar segala

Kecundanglah kini negeri tersohor
Rajanya gugur ... takhtanya berkubur

Roboh ... runtuh ...
Hancur ... luluh ...

Padamlah sudah riwayat Mataram
Yang tinggal hanya kenangan semalam

Gelojohnya hingga mengundang padah
Angkuhnya sampai mempelawa musibah

Tumbang ia dek perdaya Palembang
Yang dulunya alah ... kini menggarang

Konon Raja Aji Wura Wari kepala perang
Namun Mara Vijaya merancang di belakang

§
Seminggu selepas menaiki takhta sebagai ratu Amdan Negara, Kembang Seri Wangi mengutus Panglima Buluh Padu dan Panglima Pinang Jingga menghadap raja-raja negeri Perlak dan Samudera Pasai, membawa watikah persahabatan. Ia sebagai persediaan serta perancangan untuk menghadapi sebarang kejadian di masa hadapan.

Maklumlah sahajalah, hubungan Amdan Negara dengan Palembang sungguhpun kini baik, di hari muka tiada sesiapa yang tahu. Maka Amdan Negara tetap perlu bersahabat dengan sebanyak mungkin negeri lain, agar mampu menghadapi sebarang kemungkinan Palembang berubah sikap di masa hadapan. Kebetulan pula Perlak dan Samudera Pasai juga sentiasa terancam oleh kekuasaan Palembang yang pernah menaklukinya beberapa lama, namun ketika itu berundur hanya setelah Palembang sendiri terancam oleh kekuasaan Mataram di bawah pemerintahan Dharma Wangsa.

Mara Vijaya sendiri tidak begitu selesa melihat hubungan yang bertambah baik di antara Amdan Negara dengan dua negeri di penghujung utara Pulau Sumatra itu. Tambah lagi raja dan kebanyakan rakyat Perlak dan Samudera Pasai kini menganuti ajaran Islam, maka dianggap oleh Mara Vijaya sebagai suatu ancaman kepada keunggulan Palembang yang menjuarai fahaman Buddha aliran Mahayana di Pulau Sumatra. Namun dalam keadaan terkini, Mara Vijaya tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Apatah lagi Amdan Negara pula kini semakin hari beransur semakin gagah.



§
News of Mataram’s destruction by the Palembang-Wura Wari coalition struck Rajendra Chola like a thunderbolt. The king raged like an angry beast.

“Aditya!!!” he screamed at his Chief Commander. “I want Mara Vijaya’s head! Make preparations for a large invasion. Palembang must be taught a lesson. Or, pretty soon, they might start getting even more dangerous ideas.”

“I understand. Consider it done, Your Majesty. I shall get ready 300 ships. That should be enough for Palembang.”

“Did you hear what I just said? Or do you still insist on remaining an idiot? I said that Palembang must be taught a lesson. When I say a lesson, I mean just that. A big, bloody lesson. Get ready at least a thousand ships. We’ll hit not only Palembang, but all of its federated ally kingdoms in Suvarna Dvipa. The Golden Islands shall burn big and bright from the fire of Chola Mandalam.”

“I’m very sorry, Your Majesty,” Aditya apologised immediately. “Please forgive me, for underestimating the gravity of the situation. I shall carry out your orders as you wish.”

“Yes! It is a grave situation, indeed. For Chola Mandalam. As well as for the entire Hindu realm. Apparently, this is something beyond you to grasp. If Mahmud of Ghazna succeeds in entrenching his Muslim empire in northern Hindustan, and encroaches any further southwards, and if the Buddhist kingdoms in Suvarna Bhumi and Suvarna Dvipa are all smart enough to ally with him, our Hindu realm is as good as encircled. Knowing Mahmud, he might already have sent his legion of maulanas there to preach the Islamic faith to them."

"Well, apparently he's succeeded rather brilliantly with Amdan Negara. But the Sumatrans are still mostly faithful to Mahayana and Vajrayana, aren't they?"

"Not at all. As a matter of fact, Perlak and Samudera Pasai are now two increasingly entrenched Islamic kingdoms in Northern Sumatra. They've managed to shake off Palembang's yoke, no thanks to Mataram's repeated invasions of Palembang and Dharma Vamsa's insatiable hunger for power and territory. Mahmud has been in regular contact with both Perlak and Samudera Pasai, constantly strengthening Ghazna's relationship with them. I fear that Malayu Jambi may one day be drawn to Islam too, for it could help them break away permanently from Palembangian hegemony, something that they've been trying hard to do for centuries."

"It is a worrying situation, isn't it?"

"Of course it is. And, in case your lame brain has suddenly malfunctioned again, we already have our hands full at home with our near neighbours Pandya, Western Chalukya and Hoysala. Leave alone Singhala Nagara and Bhangala. The only way for Chola Mandalam to survive and thrive is as a fierce tiger of Shiva. Anything less than that, we’re dead meat.”

“Yes, Your Majesty. Your sharpness and foresight is well known throughout all of Hindustan. Now I understand why.”

“How soon can we get our ships and soldiers ready?”

“For such a large fleet, Your Majesty, and if we’re to sail to Suvarna Dvipa with a crushing victory in mind, we’d need about a year to prepare.”

“Fine! Just make sure you get it done. And better get it done bloody good. Or I’ll have your head on a plate, Commander.”

§
Rajendra’s massive attack on Palembang was met by the best forces of the Srivijayan Federation that Maharaja Mara Vijaya could muster. But it was a surprise attack, and Mara Vijaya did not have the time to organise a proper defence. Let alone to seek additional help from federated ally kingdoms. Like he did the previous year, when Palembang itself was the initiator of the attack on Medang Mataram.

Mara Vijaya himself was seriously injured in the battle in Palembang against Rajendra’s Chola Mandalam forces, a wild spear in the heat of battle catching him in the shoulder. In his younger days, Mara Vijaya’s robust constitution would have enabled his body to shake off the effects within several weeks at most. But now, the ravages of age and numerous bruising battles had caught up with him. His wounds had turned septic, and he eventually succumbed to his injuries several months later, early the following year. His young son, the precocious Sang Rama, ascended the throne of Palembang Srivijaya as Sang Rama Vijaya Thunga Varman.

On the advice of his strategists, Sang Rama had another grand palace built for him in Kedah Negara, Srivijaya’s provincial capital in the north western part of the Malay Peninsula. Kedah Negara had by then eclipsed Palembang as the chief commercial and trade centre of the sprawling Srivijayan realm. Its naturally well sheltered seaport, at the river mouth of the Merbok River, had become preferred over that of the Palembang river port, the waters around which had become increasingly infested with pirates. Palembang, however, still kept its pride of place as the political centre of the sprawling Srivijayan Federation.

§
Sembilan belas tahun kemudiannya (1035) Air Langga membuka negeri Mataram yang baru berpusat di kota yang dinamakannya Kahuripan, lalu menaiki takhta sebagai rajanya. Sembilan tahun dia memerintah sebagai raja, kemudian turun takhta untuk hidup seterusnya sebagai seorang petapa, meninggalkan Medang Kahuripan, dipecah dua menjadi Jenggala dan Kediri, kepada dua puteranya (1042). Sempadan Jenggala dan Kediri ditetapkan oleh pendita Bharada.

No comments:

Post a Comment