Monday, August 6, 2012

Chapter 43: Sojourn in the West


Ozalan duduk terlepok di atas sebongkah batu besar berhampiran sebatang pokok ara tua, di sekitar kawasan lelong abdi di pasar besar kota Konstatinople. Batu dan pokok yang sama di tempat dia selalu bermain-main di zaman kanak-kanaknya, bersama anak-anak abdi lain sepertinya ketika itu, dua puluh tiga tahun yang lalu. Selepas seharian menyempurnakan tugas-tugasnya, dia berasa agak keletihan.

Kenangan samar sewaktu kecil bersama ibunya Shamira di kota Preslav, di negeri asalnya bergelar Bolgarsko Tsarsvo, pula muncul berlegar-legar dalam kepalanya. Kehidupan bahagianya ketika itu, berkisar di sebuah rumah besar agam di pinggir kota, tiba-tiba berubah mendadak pada suatu hari.

Segerombolan pahlawan Byzantium yang bengis bengkeng merempuh masuk ke pekarangan rumahnya. Mereka memberkas dia dan ibunya dua beranak, menggeledah seisi rumah mereka, lalu memunggah sebanyak mana harta benda yang dapat mereka punggah. Orang-orang jahat itu kemudian mengheretnya bersama ibunya keluar, lalu membawa mereka berdua ke Konstantinople dan menjual mereka sebagai abdi.

Dia bertanya kepada ibunya mengapa bapanya Panglima Uzulmez tidak datang membela mereka. Namun Shamira ketika itu hanya memeluk dan mengucupnya serta memintanya tidak terlalu risau tetapi bersabar menunggu.

Di Konstantinople pula mereka dua beranak bertemu dengan Isabelle, anak gadis sunti dari Pulau Brittania yang menjadi sahabat akrab mereka. Nama gadis itu agak sukar hendak disebutnya ketika itu, lalu Ozalan kemudiannya memanggilnya Zibâ Baji, yang dalam loghat campuran Parsi-Oghuz bermaksud Kakak Cantik. 

Hujan gerimis turun renyai-renyai menyirami bumi Konstantinople yang sudah berminggu kemarau. Ozalan mengamati bersahaja wanita yang berjalan menyilang tidak begitu jauh di hadapannya. Wanita itu seperti pernah dilihatnya. Orangnya cantik anggun, fikir Ozalan, apabila wanita itu semakin hampir dengannya.

Bertubuh tinggi besar bagi seorang wanita. Matanya perang kehijauan. Bulu matanya panjang lentik. Bulu keningnya lebat. Rambutnya hitam kekundangan, kerinting berombak, lebat dan panjang mengurai hingga ke pinggang. Kelibatnya agak hebat. Seperti seorang serikandi, fikir Ozalan. Ohhh! Ibunya Shamira rupanya.

“Ibuuu!!!” Ozalan berteriak sambil meluru ke arah wanita itu, lantas memeluknya erat-erat.
  
“Ojaaa!!!” balas wanita itu, tersentak sedikit. Dia membelai-belai dan mengusap-ngusap muka serta rambut anak tunggal kesayangannya itu. “Kau ka? Kau dah besar rupanya, Sayang. Kacak dan tampan pula. Salin tak tumpah seperti arwah Ayahmu. Apa khabar kau, Oja? Begitu lama kita tidak bertemu.”

“Baik-baik aja, Bu. Ibu apa khabar?”

“Ibupun baik-baik aja.”

"Oja tinggal bersama Zibâ Baji."

“Isabelle? Ohhh. Di manakah itu?”

“Di rumah ... di mahligai … seorang ratu dan saudagar … Ratu Agung Kembang Seri Wangi. Di sebuah negeri bernama … Amdan Negara ... nun jauh di timur dari Byzantium ini. Anaknya … bernama Putera Shakranta ... dia Putera Mahkota sekaligus Panglima Agung. Dia juga ... seorang pahlawan hebat. Seperti Ayah. Mereka baik orangnya."

"Ohhh. Bagaimana pula dengan Isabelle? Apa khabar dia sekarang?"

"Zibâ Baji ... telah berkahwin ... dengan Putera Shakranta. Mereka mempunyai seorang puteri ... Puteri Chinta Kirana namanya. Dan rupa-rupanya ... Zibâ Baji juga asalnya seorang puteri.”

“Ohhh! Bertuahnya Isabelle. Baguslah kalau begitu, Oja. Jagailah dirimu baik-baik. Sampaikan salamku kepada Isabelle. Puteri Isabelle. Walau apa yang terjadi, jangan sekali-kali dibiarkan jatuh martabat keluarga kita. Kau juga seorang putera. Maka jiwailah sifat mulia hati dan murni diri seorang putera sejati.”

"Apa??? Oja seorang putera???”

"Benar, Oja. Kerana Ayahmu, Panglima Uzulmez, dia adalah seorang yabghu. Seorang putera di kalangan beberapa gerombolan kaum Oghuz puak Kinik. Dia bersaudara rapat dengan Yabghu Seljuk, ketua mereka. Seljuk punya beberapa orang putera ... salah seorang daripada mereka bernama Arslan Israil. Kalau kau berpeluang bertemu dengan kaum Oghuz puak Kinik di kemudian hari ... kau carilah Arslan Israil serta kaum keluarganya."

"Daripada apa yang Oja dengar ... daripada seorang sahabat berbangsa Oghuz ...  Tegrud namanya ... Panglima Tegrud ... kalau tak silap ... Arslan Israil kini menyandang jawatan Kudarkin … iaitu Panglima Agung … sebagai pengganti bapanya … bagi gerombolan pahlawan perantau kaum Oghuz … dalam bala tentera kerajaan Khwarezm.”

"Kalau begitu ... memang lebih patut lagi kau mencarinya ... dan mengunjunginya."

"Tapi, Bu,” balas Ozalan dengan nada ragu. “Bagaimanakah Arslan Israil akan mengenaliku? Dan mungkinkah dia akan menerimaku sebagai sanak saudaranya?”

"Ojaaa ... kau masih bersaudara rapat dengannya. Dia pasti bahagia dapat bertemu denganmu. Tunjukkanlah pingat emas berantai berukirkan gambaran Helang Oghuz, iaitu cop mohor keluarga Ayahmu, sekaligus juga seluruh kaum Oghuz, peninggalan Ayahmu itu kepadanya. Sebagai buktinya bahawa ... kau adalah putera kepada ... Yabghu Uzulmez. Selain itu ... bukti yang lebih kuat lagi adalah ... wajahmu sendiri. Kerana kau salin tak tumpah mirip Ayahmu. Hanya warna matamu ... dan kerinting rambutmu itu ... yang mirip Ibu.”

"Baiklah, Ibu. Oja akan mengusahakannya. Andainya Oja bertemu kesempatan itu. Oja pun ... pasti bahagia ... jika dapat bertemu sanak saudara.”

"Baiklah, Oja. Ibu harus pergi sekarang. Ingatlah pesanan Ibu. Pertahankanlah negerimu. Dan lindungilah sahabat-sahabatmu. Pupuklah sikap itu dalam dirimu, walau ke mana kau pergi, walau di mana kau berada. Berhubung maruah diri jangan sekali-kali bertolak ansur … kerana akhirnya itu akan merugikan diri sendiri. Banyakkan memberi daripada menerima … lebihkan menolong daripada ditolong. Nescaya hidupmu akan sentiasa sejahtera. Ibu pergi dulu, Sayang. Selamat tinggal, anakku.”

Wanita itu bergerak meninggalkannya … lalu beransur hilang daripada pandangan.

"Ibu!!! Jangan tinggalkan Oja! Tunggu! Ibuuuu!!!”

Ozalan bingkas bangun untuk mengejar wanita itu. Suasana sekeliling kini gelap gelita. Dia menggosok-gosok matanya. Rupa-rupanya ... dia bermimpi. Dia telah tertidur di atas bongkah batu itu kerana terlalu letih, apatah lagi dibelai pula oleh tiupan angin sendalu dari pesisir pantai.

Pingat emas berantai? Helang Oghuz? Peninggalan Ayahnya? Namun, seingat-ingatnya, dia tidak pernah melihat sebarang benda seperti itu sepanjang hayatnya. Mungkinkah Zibâ Baji tahu menahu sesuatu tentangnya? Dia akan bertanya kepada Zibâ Baji mengenainya bila sudah pulang ke Amdan Negara nanti. Dalam mengelamun mengimbau kembali kenangan zaman kecilnya di Bolgarsko Tsarsvo dan di Byzantium yang kini semakin kelam ... dia beransur terlena kembali.

No comments:

Post a Comment