Monday, August 6, 2012

Chapter 45: A Union Ordained




Setelah dua belas tahun memerintah, Kembang Seri Wangi, ratu kerajaan Amdan Negara yang telah merdeka berdaulat sepenuhnya, turun takhta setelah menabal puteranya Shakranta menjadi raja Amdan Negara yang baru dengan gelaran Raja Agung Seri Dharma Amdan Negara. Suatu hari, setelah kira-kira setahun memerintah sebagai raja, Raja Shakranta memanggil Ozalan menghadap.

"Ampun Tuanku," Ozalan merafak sembah. "Tuanku memerintah hamba hadir menghadap."

"Ya, Ozalan," jawab Shakranta. "Ada suatu perkara penting yang perlu Beta perbincang dan selesaikan denganmu."

"Baik, Tuanku," Ozalan membalas. "Titah Tuanku pasti hamba junjung."

"Umm, cuma ini bukanlah suatu titah dalam erti kata yang sebenarnya, tetapi sebaliknya, adalah suatu kepastian yang Beta inginkan daripadamu. Lebih baik kiranya di antara kita berterus terang sahaja."

"Ampun Tuanku. Jika baik bagi Tuanku, baiklah juga bagi hamba, Tuanku."





"Baguslah kalau begitu. Begini, Ozalan. Di antara Beta dan permaisuri Beta, kedua kami memang sudah lama memerhatikan hubungan akrab di antaramu dengan puteri kami, Chinta Kirana."

"Ampun Tuanku. Memang sejak dari detik kelahiran Cik Puteri Chinta Kirana, hamba telah menganggapnya, melayaninya dan menyayanginya seperti seorang adik sendiri, Tuanku."

"Beta dan permaisuri Beta tahu itu, Ozalan. Malah kau pernah menyabung nyawa untuk membelanya di suatu ketika dulu. Tambah lagi, kami berdua telah mengenali dan memahami dirimu, pekertimu, hati budimu, bukan sehari dua, tetapi sudah berpuluh tahun, iaitu sejak kau sendiri masih seorang kanak-kanak."


"Ampun, Tuanku. Kiranya dalam perlakuan hamba ada terlanggar batasan adat resam, sopan santun atau tatasusila tanpa tersengajakan, hamba pohon beribu ampun, Tuanku. Kerana hamba ini pacal yang hina, kadang kala mungkin ada terlanjur laku atau kata, Tuanku. Hamba bersedia menerima hukuman jika ada berlaku sebarang perlanggaran di pihak hamba, Tuanku."

"Baiklah, Ozalan. Beta pasti kau pun faham benar bahawa Chinta Kirana juga bakal menaiki takhta Amdan Negara sebagai ratu memerintah di hari muka, sewaktu Beta telah diruntun uzur dan usia."

Ozalan tunduk, matanya terpaku ke lantai, menanti amaran, sergahan atau kemurkaan yang terasa seperti bakal menyusuli. Namun air muka Raja Shakranta tidak berubah, tetap tenang tenteram dan selamba bersahaja.

"Chinta Kirana, sungguhpun kalau sudah menjadi seorang ratu di kemudian hari, dia tetap seorang wanita," Permaisuri Isabelle muncul dari sebalik tabir. "Dia pasti akan masih memerlukan perlindungan dan pembelaan seorang lelaki yang boleh diamanah dan dipercaya. Selain kasih sayang serta cinta tulus seorang suami yang berbudi. Kau faham maksudku dan suamiku, bukan?"

Terkebil-kebil kini mata Ozalan, namun dia terus sahaja memandang ke lantai.

"Ampun Tuanku, Ampun Puanku," Ozalan akhirnya bersuara setelah beberapa detik terdiam membisu. "Hamba akan membela dan melindungi Chinta Kirana dengan nyawa hamba, sepanjang hayat hamba. Dan kiranya hamba gagal dalam melaksanakan tugas hamba itu, hukumlah hamba dengan hukuman yang setimpal. Hamba rela."

"Baiklah, Ozalan," Raja Shakranta menyambung. "Beta dan Permaisuri Isabelle sudah memperbincang perkara ini cukup lama dan panjang lebar, serta dengan mendapat pandangan bunda Beta, juga puteri Beta sendiri. Hasil daripada kesemuanya, kami sebulat suara bersetuju untuk menawarkan tugas khas ini kepadamu. Kerana kau adalah orang yang paling sesuai dan berkemampuan untuknya. Terpulang kepadamu, sama ada mahu menerima, ataupun menolak."


Tugas khas? Tapi ia suatu tugas yang begitu berat. Di samping terasa seperti dirinya tidak cukup layak untuk menanggungnya.

"Ampun Tuanku, Ampun Tuanku," akhirnya Ozalan menjawab. "Hamba minta ampun jika jawapan hamba dengan tidak sengaja terasa biadab ataupun kurang sopan. Chinta Kirana seorang puteri. Daripada suatu wangsa pewaris takhta yang gilang-gemilang. Kalau untuk melindungi dan membelanya daripada seorang ancaman, memang hamba sentiasa bersedia melakukannya, walaupun jika nyawa sendiri perlu menjadi taruhan."

"Habis, bagaimana pula jika untuk menjadi pengganding hidupnya, sahabatnya, teman penghiburnya di kala suka dan duka?" Permaisuri Isabelle memburu pengesahan. "Kau tidak sanggup melaksanakan tugas yang itu? Baru sebentar tadi kau berjanji bersedia menggalas sebarang tugas yang dipertanggungkan kepadamu."

Ozalan terdiam lagi. Terasa begitu sukar baginya untuk memperjelas rasa hati nuraninya tanpa mengundang jengkel atau murka raja dan permaisurinya.


"Ampun Tuanku, Ampun Puanku," akhirnya Ozalan bersuara. "Hamba sekadar orang suruhan. Datangnya hamba ke istana ini mulanya sebagai bekas kanak-kanak abdi, yang mujurnya sebelum itu menjadi merdeka atas belas ehsan Tuanku Raja Shakranta sendiri. Kemudian pula bernasib baik diambil berkhidmat sebagai pembantu penjaga kuda, akhirnya ketua penjaga kuda. Selepas itu dilantik pula menjadi Timbalan Ketua Pengawal Istana. Rasanya tidak begitu layak atau sajak bagi hamba, untuk berangan-angan walau sedetik waktu, mahu menjadi pasangan hidup seorang puteri dan bakal ratu memerintah."


"Ozalan, antara kita berdua, sejarah zaman kanak-kanak masing-masing hampir serupa, tidak begitu banyak bezanya." Permaisuri Isabelle menegaskan. "Kau menolak? Kau sanggup menghampakan hasrat dan harapan Chinta Kirana? Orang yang kau sendiri katakan sungguh kau sayangi selama ini sebagai seorang adik sendiri?"


"Tidak begitu, Tuanku, Puanku," jelas Ozalan. "Maksud hamba ... hamba tidak begitu yakin bahawa ..."

"Ozalan," sambung Permaisuri Isabelle. "Chinta Kirana tidak boleh ... menunggu sebegitu lama untuk mendapat kepastian daripadamu. Sanggupkah kau melihat seorang jejaka lain mendampingi dirinya, menawan hatinya, seterusnya memperisterikannya? Seorang jejaka biasa ... seperti ... sahabat-sahabatmu Dali ... atau Yilmaz ... ataupun Saudagar Mehrdad ... misalnya."

Lantas Ozalan terkenang seketika mimpinya bertemu ibu kandungnya Shamira ketika tidur sewaktu senja di bawah teduhan pokok ara besar di Konstantinople. Seperti tergerak hatinya untuk bertanya sesuatu kepada Isabelle. Namun rasa kurang senang pula menghambat hati kecilnya, lalu dia memaksa dirinya supaya menutup mulutnya.

 
Isabelle merenung Ozalan. Air muka anak muda itu tiba-tiba kelihatan sedikit berubah. Mungkinkah dia terasa sedikit tergugat, fikir Permaisuri Isabelle.

"Eh! Mengapa kau tiba-tiba membisu?" tanya Permaisuri Isabelle. 

"Kalau begitu bermakna kau menerima," ujar Raja Shakranta. "Baiklah, demi menamatkan segala waswas dan ragu-ragumu, Beta dengan ini memerintahmu untuk mengambil tugasan ini. Kau akan Beta tunangkan dengan Puteri Chinta Kirana. Majlis perkahwinan dema berdua akan berlangsung enam purnama dari hari ini. Selain itu, kau akan Beta lantik secara rasmi menjadi Timbalan Senapati Kedua, dalam dua purnama dari hari ini. Untuk itu, kau akan diberi latihan persediaan di bawah seliaan Timbalan Senapati Pertama. Sekarang kita anggap semuanya selesai."

"Dan janganlah harapnya sekali-kali dipersiakan amanah yang kami pertanggungkan kepadamu ini," Permaisuri Isabelle menambah. "Suatu hari nanti, pasti akan terbukti bahawa inilah keputusan terbaik dan paling tepat untuk semua."

"Ampun Tuanku. Ampun Puanku. Umm ... bagaimana pula bila ada pihak yang mengungkit-ungkit sejarah lama hamba sebagai budak suruhan ... dan bekas kanak-kanak abdi ... di kemudian hari? Hamba pasti ia akan berlaku ... dan bukan hanya setakat sekali dua. Tidakkah ia akan membuat Tuanku dan Puanku merasa tercabar ketika itu?"

"Itu akan kami berdua hadapi bila ia perlu dihadapi," tegas Raja Shakranta. "Janganlah ia kau biarkan menjadi batu penghalang yang akan mencacat cedera kebahagian hidup dema berdua sebagai suami isteri."

"Beta juga pernah mengharungi kehidupan sebagai budak suruhan dan kanak-kanak abdi, Ozalan," tingkah Permaisuri Isabelle. "Kau pun tahu itu, kerana kita mengalami sebahagian daripadanya bersama. Bukankah keabdian yang telah mempertemukan di antara kita bertiga di kota Konstantinople? Anggaplah zaman itu sebagai suatu rahmat terselindung, suatu pengalaman yang tidak terhargakan nilainya, yang telah menempa watak dan peribadi kita, serta membentuk ketentuan hidup kita, dan bukannya suatu keaiban yang sentiasa harus disembunyikan. Kalau diri kita sendiri selesa dengannya, tiada sebarang pihak yang boleh menggugat kita."    


§
Beberapa hari berlalu.

"Bagaimana pendapat Dinda?" Raja Shakranta bersuara.

"Tentang apa tu, Kanda?" Permaisuri Isabelle bertanya balas. 

"Tentang Ozalan. Dinda fikir dia menerima cadangan kita dengan suka rela? Atau adakah dia hanya menerima kerana terpaksa?"

"Janganlah Kanda terlalu risaukan itu. Di wajahnya tiada ternampak sebarang gusar. Dia tu memang begitu. Terutamanya sejak zaman remajanya. Suka berselindung tentang perasaan peribadi. Sukar sedikit hendak mendedahkan perasaan sebenar, hingga kena dipaksa sedikit kadang-kadang tu."

"Itu tidak semestinya suatu kelemahan, Dinda. Malah ia boleh menjadi suatu kekuatan."

"Lagu mana pun, kita masih boleh memantau perkembangan perkara ini sepanjang tempoh pertunangan mereka, Kanda. Selama ini Dinda tengok di antara mereka berdua memang cukup serasi. Tetapi jika terdapat masalah baru di antara mereka, ia tidak mungkin boleh terus disembunyikan. Kita pasti dapat melihat tanda-tandanya. Hanya, Dinda seperti dapat merasakan bahawa ..."




 
"Bahawa apa tu, Dinda?"

"Bahawa ini adalah ... suatu jodoh pertemuan yang memang sudah lama ditentukan." 

Demikian berakhir hubungan manja mesra sedari zaman kecil di antara Puteri Chinta Kirana dan Ozalan. Dengan majlis perkahwinan gilang-gemilang yang direstui sepenuhnya bukan sahaja oleh Keluarga Dharma Kusuma, tetapi sekaligus juga oleh seluruh rakyat jelata negeri Amdan Negara.








No comments:

Post a Comment