Tuesday, August 7, 2012

Chapter 21: Transit in Bhangala

Kedah Negara kini semakin pesat berkembang. Sungguhpun masih berada jauh dibelakang Patani Seri Negara sebagai pusat perdagangan di bumi Langkasuka, ia seperti semakin hari semakin menghampirinya. Sejak penjarahan pelabuhan Guangzhou oleh golongan pemberontak Cina lebih seabad yang lalu, para saudagar Arab dan Parsi tidak lagi belayar terus ke sana. Mereka kini lebih gemar bertemu dan berdagang dengan saudagar Cina di bumi Langkasuka, di dua kota pelabuhannya, sama ada Patani di pantai timurnya atau Kedah di pantai baratnya.
Shakranta merenung semula ke arah pesisir di sekitar kuala Sungai Merbok, memerhati ombak membelai pantai Kedah Negara, serta dedaun nyiur yang melambai-lambai seperti mengucapkan selamat jalan kepadanya. Sinar suria petang berwarna jingga keemasan memancar terik ke mukanya dari arah barat. Kapalnya meluncur ke hadapan, muncungnya membelah samudera seperti bajak membelah lumpur nan basah di tanah sawah.

Kemudian, bagaikan sebuah buaian gergasi, ia mengoleng onggol mengikut rentak alunan ombak yang  malar, berulang dan memukau. Mengayun dan mengulit Shakranta, membuat dirinya terasa semakin santai sekaligus semakin mengantuk. Mengajaknya, dengan tubuhnya yang semakin lesu selepas seharian mengangkut pelbagai barangan, menyerah sepenuh diri kepada damai indah yang tidak terganggu.


Gerombolan bahtera Shakranta belayar meninggalkan Kedah Negara, sedikit menonggang angin musim barat daya, menyusur pantai ke arah utara. Melewati bumi diaman orang-orang Mon di Tanah Seri, Hamsa Vati dan Sudharma Vati. Negeri-negeri itu serta wilayah bersekitarnya memang tersohor oleh pelbagai batu permata yang indah nian lagi mahal harganya.

Shakranta singgah di kota pelabuhan Thaton, ibu negeri Sudharma Vati, selama beberapa hari untuk berehat di samping menjalankan sedikit jual beli barangan dagang. Lalu dibelinya batu perrmata berlian, nilam, delima, zamrud, baiduri dan sebagainya lagi, buat dibawa ke Rantau Barat untuk diperdagang kemudiannya. 

Pelayaran diteruskan menyusuri pantai bumi Arakan, akhirnya baru tiba di bumi Bhanggala. Hati Shakranta terasa semakin teruja, inginnya hendak bertemu pasangan datuk dan nenek sebelah bapanya, Putera Prakasha panglima agung pasukan berkuda Bhanggala yang berasal dari Badakshan dan Puteri Anjali daripada kerabat istana Wangsa Pala, berserta kaum kerabat lain yang tidak pernah bersua, seperti semakin tidak terbendungkan lagi.

No comments:

Post a Comment